[VIDEO] Budak maut tersepit meja lipat suka bermain secara ekstrem
NIBONG TEBAL - Kanak-kanak perempuan enam tahun yang maut tersepit di celah besi meja lipat, Nur Aqifah Humaira Abdullah disifatkan seorang yang aktif dan suka bermain secara ekstrem.
Ibunya, Riana Fitriasih Kusnan, 38, berkata, meskipun pernah dilarang atau dimarahi berulang kali namun anak bongsunya itu tetap bermain dengan lasak hingga menyebabkan berlaku tragedi yang tidak diingini.
Menurut wanita yang berasal dari Indonesia itu, ketika kejadian, dia bersama dua lagi anaknya berada di dalam rumah manakala anak perempuannya itu bermain di bahagian belakang rumah.
Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian dia dikejutkan dengan jeritan anak sulung yang menemui adiknya dalam keadaan tidak sedar diri serta tersepit celah besi meja lipat di bahagian belakang rumah mereka.
"Nur Afiqah memang agak lasak berbanding adik-beradiknya yang lain, dia suka main hingga bahayakan diri.
"Walaupun beratus kali dilarang tapi dia tetap mahu mencuba sehingga kejadian yang berlaku meragut nyawanya sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di, Taman Seri Putera di sini, pada Khamis.
Ibu tuggal itu berkata, melihat keadaan anaknya yang sudah tidak sedarkan diri, dia dan anak sulung berusia 10 tahun mengeluarkan mangsa dari celahan besi meja itu sebelum mendapatkan bantuan jiran untuk membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar, Perak.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian dia dimaklumkan oleh pihak hospital yang anak perempuannya itu tidak dapat diselamatkan ketika sedang menerima rawatan.
"Memang kami sekeluarga sedih dan terkejut dengan kejadian ini, kehilangannya amat dirasai memandangkan dia selalu menceriakan suasana rumah kami di sini.
"Ayah mereka telah meninggal dunia dan kami empat beranak tinggal di rumah ini sejak dua bulan lalu. Setiap hari mesti ada saja telatah dan kerenah dia yang kadangkala buatkan saya marah kerana kelakuannya itu membahayakan diri," katanya lagi.
Riana yang bekerja sebagai tukang cuci rumah sambilan berkata, dia tidak pernah meninggalkan anak bongsunya itu sendiri kerana takut sesuatu yang buruk menimpa disebabkan tindakan yang suka mencuba sesuatu yang ekstrem.
Walaupun sedih dengan kehilangan anak bongsunya itu, Riana berkata, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH.
Beliau berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat di sini selepas selesai proses bedah siasat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian pada jam 4.15 petang itu, mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!