Mukhriz berjaya tangguh sementara cukai tambahan RM5 juta
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berjaya mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan, lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan permohonan Mukhriz, 61, selaku pemohon untuk menggantung sementara pembayaran wang RM5 juta itu sementara menunggu pendengaran penangguhan pada 16 April ini.
Semasa prosiding pendengaran permohonan itu, Mukhriz tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam, Nizamuddin Abdul Hamid sementara Peguam Kanan Persekutuan, Wan Shahida Wan Omar hadir bagi pihak tiga responden.
Pada 20 Disember 2024, Mukhriz memohon kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan notis taksiran cukai tambahan lebih RM5 juta, bagi tahun 2017 hingga 2019 lalu.
Notis bagi tahun taksiran 2017 ialah bernilai RM2,558,875.90; 2018 (RM2,445,004.91) sementara 2019 (RM16,826.37) iaitu berjumlah RM5,020,707.18.
Mukhriz, 61, selaku pemohon, memfailkan perkara itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin.
Bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Jerlun menamakan Ketua Pegawai Eksekutif/ Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Menerusi dokumen, anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon perintah Certiorari dan deklarasi, bahawa tindakan LHDN berhubung notis itu menyalahi undang-undang, melanggar keadilan dan tidak munasabah.
Beliau turut memohon perintah sama untuk membatalkan keputusan responden pertama untuk mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Ia termasuk deklarasi bahawa responden kedua, telah menggunakan kuasa secara salah hingga menyebabkan responden pertama mengeluarkan notis tersebut, seterusnya mengenakan penalti di bawah Seksyen 113 (2) akta sama terhadap pemohon.
“Saya memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama untuk mengeluarkan sijil itu terbatal dan ‘ultra vires’,” katanya yang memohon ganti rugi am dan teladan terhadap responden pertama dan kedua sementara secara ‘vikarius’ oleh responden ketiga.
Beliau berkata, keputusan responden pertama perlu disemak dan diteliti semula oleh mahkamah, seterusnya dibatalkan.
Bekas Menteri Besar Kedah ini berkata, dasar pengiraan responden pertama adalah salah, kerana mengambil kira perbelanjaan pemohon, sedangkan ia merupakan jumlah pendapatan lain.
Menurutnya, responden pertama secara melulu mengambil kira pelupusan saham pemohon di Opcom Holdings Bhd dan penerimaan dividen daripada M Ocean Capital Sdn Bhd sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai.
Sedangkan beliau berkata, pelupusan saham dan dividen merupakan pendapatan yang tidak boleh dicukai.
“Tindakan responden pertama mengambil kira pendapatan tidak boleh dicukai sebagai pendapatan boleh dicukai merupakan suatu layanan yang tidak adil dan tidak sama rata.
“Notis taksiran tambahan 2017 dan 2018 dikeluarkan lebih lima tahun daripada masa pemfailan borang-borang cukai pendapatan bagi tahun berkenaan.
“Merujuk kepada Seksyen 91 (1) ACP, sebarang notis taksiran tambahan di bawah seksyen tersebut hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun jika wujudnya situasi di mana seorang pembayar cukai telah melakukan penipuan, kelalaian sengaja atau kecuaian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yang juga ahli perniagaan itu berkata, responden pertama tidak pernah menyatakan sama ada pemohon telah bertindak melakukan kesalahan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!