Polis siasat dakwaan warga asing sebar risalah agama Kristian
KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tiga individu cuba menyebar risalah agama Kristian di tempat awam di Desa Setapak, di sini, Isnin lalu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 54 saat memaparkan tiga individu termasuk dua lelaki warga asing yang dirakam menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengadu iaitu individu yang merakam kejadian berkenaan pada malam hari sama.
"Laporan polis dibuat pada jam 10.19 malam oleh pengadu mengenai video tular tiga individu menyebarkan risalah agama Kristian secara terbuka.
"Pada masa ini usaha mengesan tiga individu terbabit sedang dilakukan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mohamad Lazim berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298A, Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999 atau datang ke balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!