Kelantan utama air bersih 2025

Mohd Nassuruddin (enam dari kanan) bersama kakitangan kerajaan negeri sempena Majlis Amanat Tahun Baharu Dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 pada Khamis.
Mohd Nassuruddin (enam dari kanan) bersama kakitangan kerajaan negeri sempena Majlis Amanat Tahun Baharu Dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Menyediakan bekalan air bersih dengan melaksanakan pelan penggantian paip lama secara menyeluruh menjadi keutamaan Kerajaan Kelantan tahun ini .

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bagi tujuan itu, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) mencapai 898.08 kilometer (km) dari 3,613 km paip yang perlu ditukar bagi mengurangkan kadar masalah air tidak terhasil (NRW).

Beliau memberitahu, jadual pelaksanaan berkenaan perlu diikuti dengan ketat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) termasuk jadual menaik taraf loji rawatan sedia ada untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti bekalan air.

"Komitmen menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan," katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu Dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan turut berusaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana yang akan diperkasakan oleh pihak kerajaan melalui pelan struktur perparitan dan saliran di seluruh kawasan terlibat banjir.

Katanya lagi, antaranya ialah melalui pembinaan longkang konkrit dan sistem saliran mesra alam lebih moden.

"Dalam menghadapi kesan banjir besar yang melanda negeri Kelantan baru-baru ini, saya telah mengarahkan agensi berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera membaiki infrastruktur yang rosak melalui pendekatan menyeluruh dan berperingkat," katanya.

Beliau turut berharap Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA) di bandar utama di negeri ini dapat memastikan risiko banjir kilat dapat diminimumkan melalui sistem saliran yang efisien dan berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!