Suspek curi motosikal di Perak ditahan di Cyberjaya
SEPANG - Orang dikehendaki berhubung kes kecurian motosikal di Perak akhirnya diberkas dalam satu sekatan jalan raya di Cyberjaya, di sini pada malam tahun baharu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan kerana dipercayai menggunakan nombor pendaftaran mencurigakan.
Beliau berkata, hasil semakan dijalankan, suspek didapati sebagai orang dikehendaki berhubung kes kecurian motosikal di Perak.
"Suspek mengaku datang bersendirian menggunakan motosikal ke Cyberjaya untuk mencari kerja.
"Setelah siasatan dijalankan, suspek telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, jam 2 pagi pada hari sama dia ditahan," katanya kepada media pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program ramah mesra bersama pengamal media di IPD Sepang.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G Shan Gopal.
Norhizam berkata, menerusi Ops Ambang Tahun Baharu, semua unit di IPD Sepang digerakkan melibatkan 15 orang pegawai kanan bersama 126 anggota lain.
Kata beliau, sembilan sekatan jalan raya dilakukan pada malam tahun baharu itu oleh setiap balai di bawah pentadbiran IPD Sepang.
Menurutnya, sebanyak 475 individu dan 394 kenderaan telah diperiksa, manakala 56 saman dikeluarkan.
Jelasnya, selain tidak mempunyai lesen memandu, kesalahan lain dikesan adalah tidak mempunyai cukai jalan dan kesalahan teknikal seperti lampu kenderaan tidak berfungsi.
"Secara keseluruhannya, keadaan kawasan di bawah pentadbiran IPD Sepang terkawal pada malam sambutan tahun baharu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!