Dr Craig Duncan dilantik Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Dr Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan pasukan kebangsaan, salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Duncan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini yang mana beliau turut pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
"Dr Craig (Duncan) juga merupakan Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013. Beliau juga memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.
"Beliau juga merupakan Penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 hingga kini," catat FAM menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Badan induk itu pada 16 Disember mengumumkan Peter Cklamovski juga dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
FAM pada 31 Disember lepas mengumumkan pula Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan.
Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang prestasi manusia, tugas Duncan di FAM sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi; kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan; pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
Sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan beliau yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka.
Duncan bekerja dengan Sydney FC apabila mereka memenangi kejuaraan Liga-A, dengan Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014.
Beliau juga membantu pasukan NSW menamatkan kemarau kejuaraan pada siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.
Selain itu, beliau turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran apabila mereka mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.
Di FAM nanti, Duncan meletakkan Visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan; membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
Bagi Misi pula, beliau mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia; meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
Menerusi semua perancangan itu diharap ia mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia.
Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!