[VIDEO] Dalang lulus kenderaan tidak selamat di Puspakom diburu

A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan laporan berhubung siasatan terhadap kenderaan tidak mematuhi standard yang diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti dakwaan wujud sindiket menawarkan perkhidmatan tidak sah seperti meluluskan kenderaan tidak patuh standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Anthony (depan, tiga dari kanan) pada majlis perasmian pejabat JPJ Putrajaya, di Putrajaya pada Khamis.
Anthony (depan, tiga dari kanan) pada majlis perasmian pejabat JPJ Putrajaya, di Putrajaya pada Khamis.

"Memang kita akan bekerjasama dengan SPRM untuk kenal pasti isu-isu integriti dalam Puspakom dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas.

"Kita bukan sahaja mahu mengenalpasti kes terpencil tetapi yang lebih penting (sekiranya) ada sindiket-sindiket yang tawar perkhidmatan tidak sah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pejabat JPJ Putrajaya, di sini pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom,Mahmood Razak Bahman mengesahkan dua kakitangannya dari cawangan Wangsa Maju dipanggil untuk memberi keterangan kepada JPJ.

Ia susulan operasi agensi itu yang dilakukan secara serentak ke semua cawangan seluruh negara bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di fasiliti tersebut mematuhi standard ditetapkan.

Dalam pada itu Anthony menegaskan, siasatan yang dilakukan akan diperluas melibatkan dakwaan wujud orang tengah yang menawarkan perkhidmatan sewaan komponen kenderaan supaya lulus pemeriksaan di pusat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Memang kita tahu bahawa dalam pasaran ramai yang cakap ada 'runner', kartel dan sebagainya supaya kenderaan yang tak lulus pun boleh diluluskan.

"Jadi kes ini memang kita teruskan siasatan dan sedang bekerjasama rapat dengan SPRM," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjangkakan laporan teknikal berhubung siasatan berkenaan akan diserahkan kepada pihaknya dalam tempoh 14 hari.

"Bila telah lengkap siasatan, saya nak semua laporan teknikal itu diserahkan kepada SPRM dan saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ (Datuk Aedy Fadly Ramli).

"Daripada laporan itu nanti kita akan teliti dan mungkin ada 'angle' yang boleh kita masuk siasat di bawah akta SPRM atau di bawah kanun keseksaan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!