Kontraktor didakwa tipu pelaburan tidak wujud
SEREMBAN - Seorang kontraktor ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas enam pertuduhan menipu pelaburan tidak wujud dan menyalahgunakan harta milik seorang lelaki dengan nilai keseluruhan RM116,000 awal tahun lalu.
Tertuduh, Syed Zulkhairi Zainuddin, 44, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah didapati menipu seorang lelaki berusia 46 tahun dengan memperdayakannya supaya melabur dalam satu pelaburan tidak wujud dan telah dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank atas nama dua individu.
Mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyalahgunakan suatu harta milik mangsa sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM76,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama dua individu untuk kegunaan sendiri.
Semua kesalahan itu dilakukan antara 26 hingga 31 Januari 2024 di Taman Pulai Impian, Sikamat di sini.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Izzati Mohd Zainal menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Mohd Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan menanggung isteri dan tiga orang anak berusia enam hingga 12 tahun.
"Isterinya tidak bekerja. Anak guam juga ada sedikit kesulitan iaitu patah kaki kerana terlibat kemalangan sebelum ini," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kesemua enam pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Februari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!