Penganggur didakwa miliki senjata tiruan, tembak cermin rumah jiran

Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan khianat dan memiliki senjata tiruan.
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kemaman pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan khianat dan memiliki senjata tiruan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang penganggur mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan khianat dan memiliki senjata tiruan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Tertuduh, Tan Chee Kiong, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melepaskan tembakan dari senjata jenis senapang slingshot bersama ball bearing miliknya sehingga menyebabkan kerosakan ke atas cermin rumah pengadu menyebabkan kerugian RM3,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4.30 petang di Taman Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut, dekat sini pada 28 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat dengan menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki selaras senapang slingshot berwarna rose gold dan satu bekas plastik mengandungi 79 biji ball bearing.

Semua alatan itu ditemukan berada di atas meja dalam bilik rumah tertuduh kira-kira jam 6.45 petang pada 29 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau dikenakan denda hingga maksima RM5,000.

Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM3,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,500 bagi pertuduhan kedua.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!