147 anggota polis dibuang kerja tahun lalu
MELAKA - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman merekodkan seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, mereka dikenakan tindakan tatatetib atas pelbagai salah laku termasuk penglibatan dadah yang mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 64 orang.
Menurutnya, ia diikuti 56 atas kesalahan kategori integriti, manakala 24 orang disabitkan kesalahan jenayah dan tiga lagi kes berkaitan rasuah.
Malah katanya, angka itu sekali gus menunjukkan peningkatan lapan kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan seramai 139 orang dikenakan tindakan buang kerja dari sang saka biru.
"Tiada tindakan buang kerja bagi kesalahan syariah dan tahun lepas ada dua kes melibatkan poligami yang tidak mendapat kelulusan serta hubungan intim.
"Lembaga tatatertib mengambil tindakan turun pangkat daripada Superintenden Polis kepada Deputi Superintenden Polis (DSP), manakala Asisten Superintenden Polis (ASP) kepada inspektor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Antara Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah kepada pemangkunya Datuk Md Nazri Zawawi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Khamis.
Ujar beliau, setakat November tahun lalu, sebanyak 1,957 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,373 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) melibatkan warga PDRM dibuka.
Kata beliau, dalam tempoh yang sama, seramai 1,212 orang telah dijatuhkan hukuman tatatertib dan angka itu turut menunjukkan peningkatan 26 orang berbanding 1,238 sepanjang tahun 2023.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, statistik kematian orang dalam tahanan polis pula merekodkan sebanyak 25 kes kematian dengan peningkatan tiga kes pada tahun lalu berbanding 22 kes pada 2023.
"Semua jabatan yang terlibat dengan aspek penyiasatan dan pengurusan tahanan diminta perlu terus peka dan mematuhi undang-undang, peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) supaya kes kematian orang dalam tahanan polis dapat dihindarkan walaupun majoriti kes kematian melibatkan penagih dadah yang mempunyai komplikasi penyakit," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!