Otak bengkak punca kanak-kanak enam tahun maut
NIBONG TEBAL - Punca kematian kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang tersepit di celah besi meja lipat disahkan akibat pembengkakan otak berikutan kekurangan oksigen.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Chong Boo Khim berkata, ia disahkan selepas menerima laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Parit Buntar pada Khamis.
Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku jam 4.15 petang pada Rabu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri selepas lehernya tersepit di celah besi meja lipat.
"Mangsa ditemui oleh abang sulungnya dalam keadaan tersepit dan dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh ibunya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.
Boo Khim berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk memastikan tahap keselamatan kanak-kanak di rumah atau tempat awam terjamin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera di sini.
Mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah dikatakan bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.
Difahamkan, ketika kejadian ibu serta adik-beradik mangsa yang lain berada di dalam rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu selepas tidak mendengar sebarang bunyi dari belakang rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!