Himpunan Solidariti untuk Najib tiada kaitan dengan parti lain - MKT UMNO
SHAH ALAM - Penganjuran Himpunan Solidariti yang akan diadakan pada Isnin ini di Istana Kehakiman Putrajaya oleh ahli UMNO sebagai tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melibatkan parti lain.
Memetik laporan UMNO Online, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu bentuk sokongan dan setia kawan ahli terhadap Najib yang juga bekas presiden parti kerana jasa besar beliau selama ini.
Menurutnya, jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu bukan hanya kepada parti, tetapi juga kepada agama, bangsa, dan negara.
“Kami tahu menilai dan menghargai jasa beliau, maka kami bersolidariti demi perbicaraan yang adil untuk beliau,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut mengingatkan pihak tertentu agar tidak membuat tuduhan yang tidak berasas dan dangkal terhadap UMNO dengan mengaitkan penganjuran himpunan tersebut melibatkan parti lain.
Beliau menegaskan, parti terbesar orang Melayu itu sedar apa yang dilakukan kerana ia merupakan urusan dalaman.
“Ini rumah tangga kami, seeloknya jagalah rumah tangga masing-masing walhal kalian juga berdepan dengan kemelut dalaman yang tidak akan sesekali kami campuri.
"Jangan jadikan kami sebagai kambing hitam untuk kalian cuba mencipta populariti melalui politik murahan," katanya.
Beliau menambah, UMNO merupakan sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah serta sentiasa berpegang kepada persefahaman yang telah dibuat.
“UMNO bukan saudagar politik yang menjadikan kuasa sebagai batu loncatan, sebaliknya adalah parti yang lahir dari rakyat untuk rakyat, sedia berkhidmat dalam perjuangan yang tak pernah padam," katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!