AMK gesa tolak usaha manipulasi agama demi kepentingan politik sempit
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa semua pihak untuk menolak sebarang usaha memanipulasi agama demi kepentingan politik sempit berhubung penganjuran ‘Himpunan Bangkit Ummah’ pada Jumaat ini.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agamanya, Ashraf Hadi mendakwa, perhimpunan aman itu dilihat sebagai tindakan yang kurang bertanggungjawab kerana berpotensi memanipulasi isu agama.
Menurutnya, ia dianggap akan membangkitkan budaya ketakutan dan memainkan sentimen agama dengan cara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“AMK menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan sebagaimana dijamin dalam sebuah negara demokrasi.
“Marilah kita memberi fokus kepada isu-isu yang membawa kebaikan bersama dan memperkukuh keharmonian masyarakat serta keadilan kepada semua, tanpa meminggirkan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan satu perhimpunan aman bagi membantah tindakan pihak-pihak yang mengganggu-gugat keharmonian umat Islam di Malaysia iaitu ‘Himpunan Bangkit Ummah’ akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Bharu, Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, himpunan oleh Solidariti Gerakan Bangkit Rakyat terdiri daripada dewan pemuda parti itu dan Armada Bersatu akan turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, tambah Ashraf, Islam amat menekankan pendekatan rasional, aman dan inkslusif dalam menyampaikan mesejnya.
Bagaimanapun katanya, naratif yang ditiupkan oleh penganjuran itu bukan sahaja gagal menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua.
“Hakikat sebenar pada waktu ini, perjuangan Islam seharusnya lebih tertumpu kepada memperkukuhkan umat dengan meningkatkan taraf hidup, membaiki sistem pendidikan, memacu pembangunan ekonomi dan menyatukan masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!