Majikan wajib pastikan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya - FOMCA

Semua majikan diwajibkan memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya bukan sahaja bagi melindungi kesihatan pekerja tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang.Gambar hiasan
Semua majikan diwajibkan memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya bukan sahaja bagi melindungi kesihatan pekerja tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang.Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua majikan diwajibkan memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya bukan sahaja bagi melindungi kesihatan pekerja tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang.

Penyelaras Inisiatif @SmokeFreeMY Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa akan ditingkatkan untuk memastikan pematuhan terhadap larangan tersebut demi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat.

Menurutnya, langkah tersebut mampu menghapuskan pendedahan kepada asap rokok basi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan akut dan kronik serta mengurangkan ketidakhadiran akibat penyakit yang berkaitan dengan pendedahan asap rokok.

"Sejak pelaksanaan Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010 dan penguatkuasaan Akta 853, beberapa pihak telah mencabar perluasan larangan merokok di bangunan tempat kerja atas pelbagai alasan, termasuk kebimbangan tentang hak peribadi dan implikasi ekonomi.

"Walau bagaimanapun, mahkamah telah menegaskan bahawa kepentingan kesihatan awam adalah keutamaan utama.

"FOMCA menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan undang-undang ini demi melindungi keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Sha’ani menambah, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Surgeon General Amerika Syarikat mendedahkan tiada tahap pendedahan kepada asap rokok basi yang selamat.

Kajian juga menunjukkan asap rokok persekitaran mengandungi lebih 4,700 bahan kimia berbahaya, termasuk 43 bahan karsinogenik.

Artikel Berkaitan:

"Dianggarkan lebih 27,200 kematian di Malaysia setiap tahun adalah disebabkan oleh tembakau.

"Data di Malaysia menunjukkan bahawa penguatkuasaan larangan merokok di tempat kerja adalah sangat penting.

"Ia meningkatkan kualiti udara dalaman, melindungi kesihatan pekerja dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit akibat asap rokok," katanya.

Sehubungan itu katanya, semua pihak digesa mematuhi larangan dengan hanya merokok di kawasan dibenarkan di luar bangunan dan menggesa agar tindakan tegas terhadap pelanggaran peraturan larangan merokok diambil.

"FOMCA menyokong sepenuhnya penguatkuasaan larangan merokok di semua bangunan tempat kerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) melalui Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010.

"Larangan ini juga dikuatkuasakan selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 853) dan Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!