Tindakan Prof Tajuddin bela Hannah dipersoalkan

Hannah Yeoh (kiri), Prof. Tajuddin. Gambar kecil: Dr Ibrahim Abu Shah
Hannah Yeoh (kiri), Prof. Tajuddin. Gambar kecil: Dr Ibrahim Abu Shah
A
A
A

DALAM satu videonya, Prof. Dr Mohd Tajuddin M Rasdi bersungguh-sungguh membela Hannah Yeoh daripada tuduhan bahawa Menteri Belia dan Sukan itu adalah seorang pendakwah/mubaligh Kristian.

Walau bagaimanapun, pandangan tersebut bercanggah dengan bukti konkrit yang diambil terus daripada kandungan buku, Becoming Hannah.

1. “Tiada bukti kukuh bahawa Hannah Yeoh seorang pendakwah Kristian”

Prof. Tajuddin menyatakan bahawa tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan Hannah seorang pendakwah Kristian, kecuali beberapa petikan dalam bukunya. Beliau juga menolak bahawa ungkapan seperti 'preach' dan 'preacher' bermaksud pendakwahan secara langsung.

Bagaimanapun, buku Becoming Hannah memberikan bukti jelas bahawa Hannah mengakui dirinya sebagai seorang pendakwah Kristian, malah menggunakan kedudukan politik untuk melaksanakan pendakwahan.

Berikut adalah buktinya: “I also felt that politics took me away from my true longing, which was to be a preacher. But had I not obeyed God’s call, I would not have had the opportunity to preach at churches, to world leaders and to young people, like I am able to do now. God knew the desire of my heart to preach and serve Him. And He made it happen through my political office.” (Muka surat 108)

Hannah secara terang-terangan menyatakan bahawa beliau menggunakan jawatan politik untuk memenuhi keinginannya untuk berdakwah (preach) kepada gereja, pemimpin dunia dan golongan muda. Ini bukan sekadar komunikasi spiritual, tetapi pendakwahan yang dirancang.

2. “Preaching adalah ungkapan biasa dalam kalangan orang Kristian”

Artikel Berkaitan:

Mohd Tajuddin menegaskan bahawa ungkapan seperti 'preach' atau 'preacher' adalah normal dalam komunikasi Kristian dan tidak semestinya menunjukkan pendakwahan agama.

Bagaimanapun, ungkapan 'preach' dalam konteks Hannah jelas membawa makna pendakwahan kerana beliau menghubungkannya dengan “peluang untuk berdakwah” melalui pejabat politiknya.

Petikan berikut menguatkan bukti ini: “God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness’ sake. He is looking for God-fearing men and women who are willing to roll up their sleeves and labour in this very demanding field.” (Muka surat 110)

Hannah turut menyatakan bahawa Tuhan mahu “mengambil semula” politik dan perkhidmatan awam Malaysia untuk tujuan keadilan (righteousness’ sake).

Beliau menyeru penganut Kristian untuk melibatkan diri dalam politik dengan tujuan “melayani Tuhan”. Ini adalah pendakwahan yang menyasarkan pengaruh agama ke dalam sistem politik.

3. “Ketiadaan bukti lain seperti organisasi atau komuniti pendakwahan”

Mohd Tajuddin menyatakan bahawa tidak ada bukti tentang Hannah terlibat dengan organisasi Kristian yang aktif dalam pendakwahan atau menyebabkan pemurtadan orang Islam.

Walaupun tiada bukti langsung yang mengaitkan Hannah dengan pemurtadan, beliau secara jelas mengakui bahawa politik digunakan untuk tujuan pendakwahan Kristian.

Buku beliau menyebut: “God knew the desire of my heart to preach and serve Him. And He made it happen through my political office.” (Muka surat 108)

Di sini, Hannah mengakui bahawa kedudukan politiknya adalah alat yang diberikan oleh Tuhan untuk melaksanakan hasratnya untuk berdakwah.

Malah, terdapat laporan bahawa beliau sering menjadi penceramah di gereja-gereja di seluruh Malaysia, malah di negara-negara luar juga.

4. “Ungkapan Hannah bersifat motivasi, bukan dakwah”

Mohd Tajuddin menyatakan bahawa tulisan Hannah hanyalah motivasi untuk penganut Kristian, bukan dakwah untuk menarik orang kepada agama Kristian.

Bagaimanapun, bukti dalam buku Becoming Hannah menunjukkan bahawa tulisannya lebih daripada sekadar motivasi.

Berikut adalah petikan penting dari bukunya: “I live for God. This is why, today, when I am asked to describe who I am and what I do, I say, ‘Hannah Yeoh, lives for God.’” (Muka surat 23)

Frasa “I live for God” dan penggunaan berulang frasa “God’s call” mencerminkan komitmen Hannah untuk mengintegrasikan kepercayaannya ke dalam semua aspek kehidupan, termasuk politik. Ini adalah ciri utama seorang pendakwah yang ingin mempengaruhi orang lain melalui kepercayaan agamanya.

5. “Tiada bukti Hannah membawa kesan buruk kepada masyarakat Islam”

Mohd Tajuddin menyatakan bahawa tuduhan terhadap Hannah tidak berasas kerana tiada bukti kesan buruk secara langsung kepada masyarakat Islam.

Walaupun tiada bukti pemurtadan, niat Hannah untuk menjadikan politik sebagai medan pendakwahan Kristian jelas membawa implikasi serius terhadap dasar negara sekular yang dimahukan oleh DAP atau kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Petikan berikut menunjukkan matlamat besar beliau: “He uses very ordinary vessels to do extraordinary things. He does this so His Name is glorified.” (Muka surat 110)

Ini adalah pengakuan bahawa usaha Hannah dalam politik bertujuan untuk “memuliakan Nama Tuhan” (Kristian). Sebagai seorang pemimpin politik, tindakan beliau boleh membawa ketidakseimbangan dalam dasar negara sekular yang dimahukan oleh DAP atau kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kesimpulan

Berdasarkan petikan-petikan dari buku Becoming Hannah, jelas bahawa Hannah adalah seorang pendakwah Kristian yang menggunakan kedudukan politiknya untuk tujuan agama. Kritikan Mohd Tajuddin bahawa tulisan beliau hanya bersifat motivasi tidak dapat diterima kerana bukti dalam bukunya menunjukkan sebaliknya.

Malah banyak bukti lain yang dikeluarkan oleh Hannah sendiri bahawa beliau merupakan seorang pendakwah Kristian yang menggunakan kedudukan politiknya untuk tujuan agama dengan antara lainnya berdakwah di gereja-gereja.

Sekadar beberapa contoh ialah beberapa status beliau sendiri yang menyebut:

(1) Beliau berdakwah di gereja di Cheras: “Just finished preaching in a church in Cheras. Now lunch then off to our own church service.” Boleh dilihat di https://x.com/hannahyeoh/status/44270831462916096)

(2) Beliau berdakwah di gereja di Sitiawan: “Thank you Sitiawan for the warm hospitality over the weekend. Had a wonderful time preaching at the Methodist church!” Boleh dilihat di https://x.com/hannahyeoh/status/488212405466324992

(3) Beliau berdakwah di gereja di Perth: “In Perth at the moment attending Next Conference and will be preaching in Kingdomcity Perth (church) at the south campus, Curtin University this Sunday. If you know any Malaysian students in Perth, do pass the word around, thanks!” https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1127117264018556”

Malah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, sendiri pernah mengakui bahawa Hannah adalah “seorang pendakwah/mubaligh Kristian yang sangat padu dan cekal”. Oleh itu, siapa yang Mohd Tajuddin mahu perbodohkan sebenarnya?

*Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah bin Abu Shah adalah mantan Naib Canselor dan mantan Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!