Alam Flora kutip 3.62 tan sampah pada sambutan tahun baharu
KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengutip kira-kira 3.62 tan sampah dari tiga kawasan utama di sini sempena sambutan Tahun Baharu 2025.
Kutipan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 18 peratus pada tahun ini berbanding hanya 3.06 tan pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, Dataran Merdeka mencatat jumlah kutipan sampah terbesar iaitu sebanyak 1.67 tan.
"Sebanyak 0.93 tan telah dikutip di Bukit Bintang, manakala Menara Berkembar Petronas (KLCC) menyumbang 1.02 tan kepada jumlah keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Operasi kutipan sampah dan pembersihan yang bermula jam 10 malam dan selesai jam 8 pagi keesokannya itu bertujuan memastikan bandar raya kembali bersih dan menyambut tahun baharu dengan keadaan lebih selesa.
Alam Flora menyasarkan kawasan tumpuan awam yang tinggi bagi kerja-kerja pembersihan seperti Bukit Bintang, Dataran Merdeka, dan kawasan sekitar KLCC.
Shariman berkata, seramai 144 pekerja termasuk kakitangan pengurusan, pasukan pra pembersihan, pemandu dan pekerja am digerakkan di lokasi utama.
"Selain itu, kami juga menggunakan tiga unit lori kompaktor untuk kutipan sisa pepejal lebih efisien serta pancuran air untuk membersihkan kaki lima terutamanya di kawasan tumpuan seperti Dataran Merdeka," jelas beliau.
Menurut Shariman, sebanyak 24 unit tong sampah berkapasiti 660 liter diletakkan di kawasan strategik turut memainkan peranan bagi memastikan usaha pelupusan sampah lebih teratur.
Bagaimanapun Shariman memberitahu, kutipan sampah pada tahun ini terkawal khususnya di Dataran Merdeka.
"Jumlah kehadiran orang ramai di setiap lokasi mungkin berbeza dan bergantung pada pilihan mereka untuk berkumpul bagi meraikan sambutan.
"Kami sentiasa bersedia untuk menguruskan kutipan sampah dengan cekap tanpa mengira jumlah kehadiran pengunjung,” ujar beliau.
Jelas Shariman, meskipun jumlah kehadiran mungkin berbeza, Alam Flora tetap komited untuk mengekalkan persekitaran bersih dan sihat semasa setiap sambutan sekali gus memastikan Kuala Lumpur terus bersinar sebagai bandar meriah dan sesuai didiami.
"Operasi ini mencerminkan dedikasi berterusan Alam Flora terhadap kelestarian alam sekitar dan kebersihan bandar selari dengan misi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan menyumbang kepada masa depan lebih hijau.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tonggak perniagaan Malakoff untuk memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian didedikasikan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan planet ini.
"Ia juga selaras dengan matlamat SDG PBB nombor 11 yang bertujuan menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan serta menyokong tujuan menyeluruh Malakoff," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!