Pendengaran kerajaan batal saman Hindraf didengar hakim lain
KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula oleh Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu akan didengar di hadapan hakim lain di Mahkamah Tinggi di sini, pada 14 Mei depan.
Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin berkata, ia susulan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang sepatutnya mendengar kes itu telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Menurutnya, pada tarikh tersebut, prosiding berkenaan akan dibuat di hadapan Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz.
"Pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Lee Kar Full yang dibuat secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pendengaran Mei ini di hadapan hakim baharu, maka permohonan tersebut yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi media.
Pada 11 Disember 2023, Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Menteri Dalam Negeri, Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memfailkan permohonan itu, selaku responden pertama hingga keempat.
Ia dibuat atas alasan antaranya tindakan Hindraf memfailkan saman pemula pada 3 November 2023 iaitu tiga hari sebelum pendengaran semakan kehakiman adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 29 Januari tahun lalu, Hindraf gagal dalam permohonannya untuk mencabar tindakan RoS yang membatalkan pendaftaran persatuan itu.
Pada 22 Februari 2021, kumpulan itu menerusi pemimpinnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memperoleh kebenaran daripada mahkamah untuk mencabar keabsahan dua keputusan berhubung pembatalan pendaftaran kumpulan itu.
Hindraf yang memfailkan permohonan itu pada 22 Disember 2020 memohon satu perintah mahkamah bagi mengarahkan Ketua Pengarah RoS membatalkan keputusan bertarikh 30 September 2019 dan mengembalikan pendaftaran persatuan itu berkuat kuasa pada tarikh tersebut (30 September 2019).
Persatuan itu juga antara lain menuntut pengisytiharan bahawa kedua-dua keputusan pembatalan pendaftaran itu adalah tidak sah dan terbatal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!