Selalu kebas kaki, rupa-rupanya salur darah bengkak
SHAH ALAM - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Mohd Khidir Ridzuan Mohd Som, 41, terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah salur darah membengkak.
Kakak Mohd Khidir, Sarina, 42, berkata, adiknya dimasukkan ke HKL sejak Januari lalu selepas keadaan kesihatannya semakin kronik.
“Adik mengalami sakit dan kebas di kedua-dua belah kaki sejak November 2019 dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Kudat, Sabah untuk rawatan sebelum dia putuskan untuk dapatkan rawatan di Semenanjung kerana kemudahan lebih lengkap.
"Adik yang bertugas di APMM Kudat terpaksa ambil cuti dan balik ke kampung di Negeri Sembilan untuk rawatan di Hospital Jelebu tapi disebabkan kesihatannya semakin merosot, dia dipindahkan ke Hospital Tunku Ja'afar (HTJ) Seremban dan kemudiannya ke HKL untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, doktor mengesahkan Mohd Khidir Ridzuan mengalami Enfra Renal Mycotic Aneurism atau salur darah utama di kedua-dua kakinya membengkak dan jangkitan kuman dalam darah.
“Kakinya membengkak akibat salur darah semakin mengecil dan tiada ubat boleh mengubatinya kecuali menjalani pembedahan.
“Doktor beritahu pembedahan agak rumit dan perlu disegerakan kerana ia semakin serius serta berisiko salur darah akan pecah, sekali gus membahayakan nyawanya,” katanya.
Bagaimanapun, Sarina berkata, pembedahan membabitkan berjumlah RM40,000 untuk memasukkan sejenis alat dikenali sebagai Chimney Stand untuk diganti pada bahagian salur darah utama yang bengkak.
"Kos yang agak tinggi dan sukar untuk keluarga saya mencari jumlah wang tersebut dalam tempoh yang singkat, sedangkan pembedahan ini hanya dilakukan selepas wang yang diperlukan mencukupi.
“Isteri adik hanya seorang suri rumah dan tiga daripada empat orang anak mereka masih bersekolah. Semua perbelanjaan ditanggung oleh adik saya," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 56248742 1855 atas nama Pertubuhan Kebajikan Kasih Asnaf Global atau hubungi Sarina di talian 018-9688178 atau melalui WhatsApp di talian 017-9609401.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!