Lelaki alami gangguan mental ceroboh masjid
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang juga pesakit mental dilaporkan menceroboh dan mengganggu jemaah di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail, di sini, awal pagi Rabu.
Kejadian yang dipercayai berlaku sebelum Solat Subuh itu tular dalam satu rakaman video berdurasi 2 minit 46 saat menerusi laman media sosial Facebook milik seorang individu sejak tengah hari Khamis.
Menurut sumber, lelaki berusia lewat 25 tahun itu memandu kereta dari kediamannya di Jalan U Thant, di sini, sebelum menuju ke masjid berkenaan.
"Pada masa sama, keluarganya yang menaiki sebuah lagi kenderaan lain turut mengekori lelaki itu dari belakang.
"Sebaik tiba di pekarangan masjid, lelaki itu terus meluru masuk dan membuat kekecohan," katanya.
Berdasarkan rakaman video yang tular tersebut, lelaki itu kemudian ditenangkan oleh jemaah masjid dan ahli keluarganya sebelum membawa dia keluar.
Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di masjid itu.
Dia kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan sebagai seorang pesakit mental.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan kejadian tersebut berkata, lelaki itu telah mengganggu jemaah dan turut merosakkan satu unit televisyen dan satu kerusi di dalam masjid pada jam 5.40 pagi.
"Suspek mengalami masalah mental sejak April 2022 dan rawatan terakhir pada 16 Januari 2023 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Tiada rawatan susulan diterima sejak 16 Januari 2023. Kita telah berjaya mengesan suspek untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!