Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam catat kemajuan 60 peratus

Reka bentuk Stadium Shah Alam baharu.
Reka bentuk Stadium Shah Alam baharu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam kini mencatatkan kemajuan lebih daripada 60 peratus dan berada dalam fasa 20 hari lebih awal daripada jadual asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop berkata, projek itu sedang melalui proses penyediaan reka bentuk akhir serta melaksanakan pengurusan nilai untuk memastikan pembinaannya nanti dilakukan secara efisien dan mengikut bajet yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, meskipun kos pembinaan semakin meningkat, namun optimis bagi memastikan proses itu berjalan lancar dan pelaksanaan pembinaannya dalam kos efektif.

"Sebab ini melibatkan beberapa proses pembayaran sama ada dalam bentuk land swapping (pertukaran tanah) dan sebagainya.

"Kita ingin memastikan bahawa reka bentuk (Kompleks Sukan Shah Alam) bukan sahaja efisien tetapi juga seminimum mungkin dari segi kos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Bakul Yayasan MBI di tapak runtuhan Kolam Takungan Hillpark, Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini pada Khamis.

Saipolyazan berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam itu melibatkan pelbagai jenis pembangunan termasuklah pembinaan stadium, teater tertutup, hab pengangkutan dan pelbagai kemudahan lain yang akan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk setempat serta pengunjung.

Beliau menjelaskan, pembangunan itu tidak hanya memberi fokus kepada stadium semata-mata, tetapi juga melibatkan penyediaan taman besar untuk penduduk sekitar Shah Alam serta pengunjung stadium.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, projek itu selari dengan usaha kerajaan negeri dalam menangani isu banjir di sekitar kawasan Seksyen 13 Shah Alam.

"Kerajaan Persekutuan juga menyediakan peruntukan bagi projek tebatan banjir dengan menyediakan kolam takungan seluas empat hektar tanah bagi menangani isu banjir di kawasan tersebut.

"Kita dimaklumkan telah dilantik kontraktor dan ketika ini proses penilaian serta reka bentuk bagi projek tersebut.

"Projek tebatan yang dilaksanakan dengan penyiapan stadium nanti, maka isu banjir di sekitar Seksyen 13 Shah Alam dapat diselesaikan," tambah beliau.

Mengulas mengenai lawatannya di kolam takungan itu, Saipolyazan memberitahu, MBI melalui Yayasan MBI prihatin dan simpati dengan musibah yang melanda penduduk di kawasan itu berikutan insiden kolam takungan pecah pada Ahad.

Katanya, setakat ini, MBI telah menyediakan sumbangan makanan bermasak sebanyak 300 pek sehari dan akan diteruskan sehingga Jumaat.

"Kita juga telah memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada penduduk terlibat dan akan menyumbang sebanyak RM10,000 kepada persatuan penduduk yang boleh digunakan sebagai aktiviti dan juga program kebajikan," ujar beliau.

Selain itu, katanya, MBI juga menggerakkan anak syarikatnya, iaitu KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi membantu penduduk dalam kerja-kerja pembersihan rumah dan pembuangan barangan rosak.

"Kita ingin memudahkan penduduk melaksanakan kerja pembersihan dan juga mengembalikan keadaan rumah mereka kepada asal.

"MBI sentiasa cakna dalam pelbagai isu di Selangor ini antaranya kejadian bencana selain menghulurkan pelbagai inisiatif antaranya persekolahan seperti bantuan kepada pelajar sekolah serta program lain," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!