Benarkah dosa digandakan pada bulan Rejab?
KEDATANGAN bulan Rejab yang bersamaan dengan tanggal 1 Januari 2025 cukup istimewa pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti kerohanian dijalankan di serata negara termasuk selawat perdana, forum, kuliah khas, qiamullail, Subuh Macam Jumaat, doa dan sebagainya.
Bagaimanapun, berbagai-bagai perkara maksiat juga dapat dilihat pada malam ambang tahun baharu baru-baru ini.
Timbul satu persoalan, apakah benar dosa yang dilakukan pada bulan Rejab akan digandakan?
Pendakwah, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali dengan PU Salman terlebih dahulu menjelaskan, ramai lagi dalam kalangan masyarakat Islam yang tidak mengetahui bahawa bulan Rejab adalah bulan mulia dan bulan yang digandakan dosa.
Menurut beliau, ia adalah berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-36 surah At-Taubah:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (bulan haram). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-NYA)”
Jelasnya, empat bulan haram yang dimaksudkan adalah Rejab, Muharam, Zulkaedah dan Zulhijjah.
“Ia bukan bermakna boleh buat dosa pada bulan-bulan lain, sebaliknya bulan Rejab dan bulan-bulan haram lain jangan berbuat dosa, begitu juga pada bulan-bulan selainnya.
“Ada larangan khusus pada bulan-bulan haram, maknanya dosa-dosa (yang dilakukan) digandakan dan dibesarkan pada bulan tersebut,” jelasnya pada akaun TikToknya pada Selasa.
Tambahnya lagi, Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan, dosa yang dilakukan pada bulan-bulan haram termasuk bulan Rejab adalah lebih kuat dan lebih besar.
“Imam Qurtubi juga mengingatkan jangan melakukan dosa pada bulan-bulan haram kerana hukuman dan seksaannya akan digandakan.
“Ahli tafsir hebat, Imam Qatadah juga menyatakan sesiapa yang melakukan dosa kezaliman pada waktu itu, ia lebih besar kesalahannya berbanding bulan-bulan lain,” jelasnya.
Oleh itu PU Salman berpesan agar menjauhi perkara-perkara maksiat agar dosa-dosa kita tidak digandakan atau dibesarkan dan sudah semestinya hukuman ALLAH SWT itu sangat dahsyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!