Seoul berjaya peroleh fail audio dari perakam data pesawat Jeju Air
SEOUL - Penyiasat berjaya memperoleh fail audio daripada perakam suara kokpit (CVR) pesawat Jeju Air yang terbabit dalam nahas mengorbankan 179 nyawa minggu ini, menurut pegawai kerajaan pada Khamis.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan memaklumkan yang penyiasat berjaya menukar data daripada CVR pesawat B737-800 Jeju Air itu kepada fail audio.
"CVR itu mengandungi sehingga dua jam rakaman dan kami memperoleh data maksimum yang boleh disimpan," menurut kementerian itu.
Pihak berkuasa akan memulakan analisis fail audio berkenaan dan menghasilkan transkrip.
CVR merakam perbualan antara kru kokpit, komunikasi dengan kawalan trafik udara serta pelbagai bunyi amaran di dalam kokpit. Peranti ini biasanya merakam sehingga dua jam audio sepanjang penerbangan, sehingga enjin pesawat dimatikan.
Peranti daripada pesawat B737-800 Jeju Air itu ditemukan dalam keadaan agak utuh pada hari kemalangan tragis itu, Ahad.
Perakam data penerbangan berasingan yang juga ditemukan daripada pesawat, akan dihantar ke ibu pejabat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan di Washington, Amerika Syarikat, untuk dianalisis, menurut pegawai.
Kementerian itu turut memaklumkan yang ia memulakan pemeriksaan tapak terhadap kemudahan keselamatan navigasi udara di seluruh negara, termasuk peralatan localiser yang dikenal pasti sebagai antara faktor penyebab nahas Jeju Air.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!