Langgar syarat lesen, MPAJ keluar 10 kompaun
AMPANG - Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu operasi bersepadu terhadap premis yang melanggar syarat lesen.
MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melibatkan pemeriksaan ke atas premis makanan, hotel dan pusat kecantikan di kawasan Taman Melawati dan Pandan Indah.
Menurutnya, lebih 150 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi dijalankan bermula jam 6 petang hingga 2 pagi, Rabu.
"Antara kesalahan dikesan seperti menggaji warga asing tanpa permit dan premis beroperasi tanpa lesen perniagaan.
"Lima tindakan sitaan turut dijalankan di premis-premis makanan yang telah menyebabkan halangan laluan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPAJ) 2007.
Pada operasi hari sama, kawalan kesesakan lalu lintas turut dilaksanakan di empat kawasan tumpuan utama iaitu Bukit Ampang, Bukit Permai, Panorama Bukit Antarabangsa dan Jalan Wangsa 5 bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pandan Indah.
"Tiada sebarang aduan kesesakan lalu lintas diterima sempena sambutan ambang tahun baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!