‘Jangan mudah menilai orang lain’ - Tony Eusoff

Tony Eusoff
Tony Eusoff
A
A
A

AKTOR Tony Eusoff mengingatkan warga maya agar tidak mudah menilai orang lain hanya kerana melakukan kesilapan.

Menurut pemilik nama penuh Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 47, setiap individu mempunyai masalah dan sejarah hidup yang berbeza.

Justeru tidak adil buat sesiapa sahaja ‘menghukum’ mereka yang tersilap memilih jalan, hanya kerana tidak melakukan kesilapan sama.

“Setiap orang mempunyai masalah masing-masing. Kita tidak tahu cabaran hidup mereka. Jadi janganlah mudah menilai orang lain hanya kerana kita tidak melakukan kesilapan sama.

“Tidak ada manusia secara semula jadi bangun tidur dan terus terfikir untuk mengambil barang terlarang. Perkara ini berlaku secara perlahan-lahan dan kita tidak tahu apa masalah atau trauma yang mereka lalui sehingga mereka terfikir untuk berbuat demikian.

“Bagi saya apa yang penting kita ada empati pada orang lain. Jika dia benar ada buat kesilapan, kita serahkan pada undang-undang untuk menghukum,” katanya.

Tony berkata demikian bagi mengulas mengenai penahanan seorang pelawak di Jeddah kerana memiliki dadah ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu, Din Tiger yang disiarkan menerusi Unifi TV di sebuah hotel di Bukit Jalil.

Pelakon Sumpahan Jerunei itu yang pernah melakukan kesilapan sama dan dipenjara lima bulan 10 hari di Singapura pada tahun 2016 juga menyesali perbuatannya.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, Tony turut menyifatkan momen itu sebagai titik terendah dalam hidup sehingga mengecewakan hati ibu tercinta.

“Bagi seorang anak tiada yang lebih menyedihkan apabila melihat ibu sendiri menitiskan air disebabkan kesilapan yang kita lakukan.

“Perkara itu buat saya terfikir bahawa saya perlu jadi lebih matang,” jelasnya.

Menegaskan kesalahan yang dilakukan adalah kerana kesilapan dan kenakalan diri sendiri, Tony berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang kedua oleh masyarakat dan orang sekeliling.

“Tidak dinafikan ada yang kata saya dianiayai, tetapi ia sebenarnya berpunca daripada kesalahan dan kenakalan saya. Bukan kerana orang lain.

“Bila tempoh hukuman berakhir, saya ada perasaan bercampur baur tentang penerimaan orang. Bagaimanapun bila individu yang saya tidak kenali datang dan bagi kata-kata semangat pada saya, itu memberi kelegaan buat saya,” ujarnya.

Pada April 2016, Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara kepada Tony kerana memiliki dadah terkawal kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Terdahulu, seorang pelawak popular yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu, atas kesalahan dadah, kini sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Menurut sumber, hukuman berkenaan dijatuhkan semasa tempoh perbicaraannya pada November lalu.

Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!