Banjir di Perak pulih, jumlah mangsa di Johor dan Kelantan terus menurun

Penduduk melihat keadaan paras air ketika duduk berehat di sebuah wakaf selepas kawasan itu dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan semalam ketika tinjauan di Kampung Nibong. Foto Bernama
Penduduk melihat keadaan paras air ketika duduk berehat di sebuah wakaf selepas kawasan itu dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan semalam ketika tinjauan di Kampung Nibong. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Perak pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup tengah hari tadi, manakala jumlah mangsa di Johor dan Kelantan masing-masing terus berkurangan malam ini.

Banjir yang melanda Kampung Chinggong di daerah Muallim, PERAK pulih sepenuhnya selepas baki 307 mangsa daripada 59 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan PPS berkenaan yang beroperasi sejak 31 Disember ditutup sepenuhnya tengah hari tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa di JOHOR berkurangan kepada 27 orang setakat 8 malam ini, berbanding 69 orang pagi tadi susulan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut pada jam 11 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan hanya sebuah PPS yang masih beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Perpat di Kota Tinggi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang berlindung di PPS SK Gual Tok Deh, Rantau Panjang sedikit menurun kepada 36 orang malam ini berbanding 38 orang pagi tadi.

Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan Sungai Golok di Rantau Panjang kekal pada paras amaran iaitu lapan meter setakat jam 7.45 malam.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!