Atlet pelayaran Johor maut, motosikal rempuh kereta buat pusingan U

Keadaan di lokasi nahas yang meragut nyawa Nur Hazurah dalam kejadian di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Rabu. (Gambar kecil: Nur Hazurah)
Keadaan di lokasi nahas yang meragut nyawa Nur Hazurah dalam kejadian di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Rabu. (Gambar kecil: Nur Hazurah)
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang atlet pelayaran Johor maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar di sini, pada Rabu.

Nur Hazurah Md Hazahar 21, sebelum ini pernah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Johor pada 2022 dan 2024 dalam acara itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata maklumat kemalangan diterima pada jam 4.50 petang melibatkan motosikal ditunggung mangsa dan Perodua Kenari.

“Kemalangan berlaku apabila Perodua Kenari dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun datang dari arah Bandar Penawar telah menukar haluan dari kiri ke kanan membuat pusingan U.

“Motosikal ditunggang wanita berusia 21 tahun itu yang datang dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak, lalu melanggar sisi kanan kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kenari tidak cedera.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!