Buli bukan aktiviti sihat wahai warga sekolah!

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

LAPORAN muka depan Sinar Harian mengenai 'Geng Gelap Buli Pelajar Sekolah Asrama' adalah gambaran kejamnya perilaku sosok individu yang masih menuntut ilmu.

Pendedahan dua bekas pelajar yang juga mangsa aktiviti tidak sihat itu sedikit sebanyak membuka mata semua pembaca khasnya ibu bapa, guru, warden asrama, pengetua, guru besar mahupun mereka yang terlibat.

Menurut salah seorang mangsa yang ditemu bual wartawan Sinar Harian, perilaku buli atau dengan bahasa mudah dikenali sebagai ragging itu, berlaku atas 'tiket' tradisi pelajar senior asrama.

Ia berlaku kepada pelajar Tingkatan 4 yang diuar-uarkan bakal menjadi pelapis kepada pemimpin pelajar asrama di bawah kumpulan tertentu seperti 6 Jahanam, 7 Malaikat Maut, 6 Azazil.

Lebih menakutkan, dakwanya ada pelajar yang dipaksa rendam kaki dalam baldi berisi air panas dan kena buat aksi ala komando seperti commando rest, push-up knuckle dan batu nisan, yang menyebabkan mangsa menanggung kesakitan.

Itu belum lagi perut ditendang dan kepala dipijak menggunakan kasut but dan banyak lagi.

Situasi itu juga memaksa pelajar yang menjadi mangsa sanggup berhenti dari sekolah asrama penuh dan belajar di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam sidang akhbar pada Khamis, dengan tegasnya memberi amaran kepada pengetua, guru besar dan pengurusan sekolah yang cuba menyembunyikan kes buli di institusi pendidikan mereka.

Artikel Berkaitan:

Lontar Fadhlina, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sesekali berkompromi dan memandang serius dengan apa yang berlaku.

Pihak sekolah juga digesa untuk tidak mempersoalkan sebarang aduan ibu bapa atau penjaga pelajar membabitkan perilaku dan kejadian buli. Jangan dipandang remeh sebarang aduan.

Buat ibu bapa pula, selain membuat aduan kepada pihak warden asrama atau pengetua sekolah, ia juga boleh disalurkan ke portal Aduan Buli yang disediakan oleh KPM dan pihak polis.

Bagaimanapun, pelajar itu sendiri perlu berani tampil mendedahkan perbuatan buli tersebut kepada pihak pengurusan sekolah selain ibu bapa.

Sekurang-kurangnya tidak berlaku isu masalah komunikasi yang mana hanya sebelah pihak mengetahui kejadian itu, sedangkan pengurusan sekolah tidak tahu-menahu akan perkara tersebut.

Semoga pendedahan kisah hitam ini akan membuka mata dan hati semua pihak sekali gus menamatkan episod yang menakutkan pelajar terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!