Gastronomi Kedah pikat pelancong

Penulis tertarik dengan penganjuran karnival dikenali sebagai ‘Back to 90’s Era@Lorong Pekan’ di bandar raya Alor Setar itu.
Penulis tertarik dengan penganjuran karnival dikenali sebagai ‘Back to 90’s Era@Lorong Pekan’ di bandar raya Alor Setar itu.
A
A
A

SEBAIK sahaja keluar dari kenderaan, penulis mendengar alunan lagu era 1990-an didendangkan oleh seorang penyanyi lelaki.

Turut kelihatan orang ramai berjalan sambil membawa bungkusan sama ada berisi makanan ataupun minuman.

Kesemua mereka pada malam itu mengunjungi karnival pesta makanan berkonsep 1990-an yang diadakan dari 12 hingga 14 Disember lalu bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Penulis tertarik dengan penganjuran karnival dikenali sebagai ‘Back to 90’s Era@Lorong Pekan’ di bandar raya Alor Setar itu kerana susun atur gerai yang cantik dengan kesemua peniaga disediakan khemah berwarna putih dan dihiasi lampu.

Bahkan, para peniaga turut berpakaian cantik dan kemas sekali gus sebagai pelanggan, kita tertarik dengan penampilan mereka.

Tidak kurang para peniaga terdiri golongan muda lelaki mahupun wanita.

Bukan itu sahaja, jualan pada karnival tersebut juga pelbagai dan tidak banyak gerai menjual jenis jualan yang sama selain harganya berpatutan.

Penulis yang menetap di Kajang, Selangor berpandangan, karnival seumpama itu perlu diteruskan oleh penganjur atau pihak berkaitan tambahan pula, tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah 2025 sebagai usaha menyemarak industri pelancongan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, secara tidak langsung para pelancong yang berkunjung ke Alor Setar dapat menikmati makanan yang sedap, pilihan pelbagai dalam satu tempat terutamanya pada waktu malam.

Ia juga dapat memperkenalkan makanan tradisi tempatan, produk-produk terkini serta medan melahirkan lebih ramai peniaga terutama golongan muda.

Para peniaga juga dapat memperoleh lebih pendapatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan program dan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Selain itu, peruntukan RM1 juta turut disediakan untuk projek pembangunan, kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan pelancongan.

Peruntukan turut disediakan dalam bentuk geran kepada usahawan pelancongan untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan pilihan pelancong tempatan dan luar negara melibatkan jumlah RM300,000.

Pada pendapat penulis, apa kata sebahagian daripada peruntukan tersebut digunakan untuk membantu para peniaga bagi menganjurkan lebih banyak karnival seperti ‘Back to 90’s Era@Lorong Pekan’ termasuk membantu dari segi promosi dan lain-lain.

Sebenarnya, Kedah adalah sebuah negeri yang kaya dengan alam semula jadi, kegemilangan sejarah silam selain budaya hidup masyarakat yang unik.

Justeru, pelancong jangan melepaskan peluang untuk mencipta kenangan indah ketika berkunjung ke negeri ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, Kedah berada dalam senarai ‘Top 5’ dari segi jumlah kehadiran pelancong bagi tahun 2023 dengan kehadiran 6.45 juta pelancong.

Menurut Sanusi, kerajaan negeri bersama Kedah Tourism telah menetapkan lima komponen utama dalam menarik kedatangan pelancong iaitu dengan memberi penekanan terhadap sumber alam semula jadi, gastronomi, seni, budaya dan sejarah.

Tema kempen Experience Kedah adalah ajakan atau pelawaan oleh orang Kedah yang sinonim dengan ‘keloi ajak mai’ buat pelancong untuk datang dan merasai sendiri pengalaman Kedah sebenar yang tidak akan dapat dinikmati di tempat lain, katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh mengambil peluang ini untuk melawat Kedah terutamanya dua minggu lagi tibanya musim cuti persekolahan.

Selain dapat melawat tempat-tempat menarik, secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan bersama ahli keluarga.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!