Kisah gugup hari pertama peperiksaan bertulis SPM
PEJAM celik, pejam celik pelajar Tingkatan 5 sudah mula duduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2024.
Di laman Facebook dan Instagram, banyak perkongsian dimuat naik oleh ibu bapa mahupun guru mengenai hari pertama anak mereka ‘berperang’ dalam dewan peperiksaan.
Ada yang berkongsi memohon restu, mengulang kaji buat kali penghabisan, beratur ke dewan peperiksaan, berdoa secara berjemaah dan tidak ketinggalan satu perkongsian yang Merak Jalanan rasa agak ‘mahal’ iaitu calon dibawa masuk ke dewan guna kerusi roda.
Timbul dalam fikiran Merak Jalanan, kalau pelajar ini dapat straight A, mesti akan jadi kenangan paling manis buat dirinya. Tetapi jika tidak dapat semua A pun, tetap menggamit memori juga.
Lain pula dengan kisah Merak Jalanan ketika menduduki SPM pada 2001. Merak Jalanan yang suka mengulang kaji saat akhir mengakui berasa kecewa sehingga ke hari ini.
Bukan apa, Merak Jalanan sebenarnya boleh nak jawab semua soalan tetapi tiba-tiba diri jadi kaku sewaktu berdepan kertas soalan sehingga terdetik dalam hati, ‘adakah aku dah nak mati?’
Dek suka mengulang kaji saat akhir iaitu lagi sebulan sebelum SPM tiba, Merak Jalanan tidak dapat meluahkan segala isi yang dihadam ke kertas jawapan. Mata Merak Jalanan terkebil-kebil melihat kertas soalan dan jawapan. Senang cerita, penglihatan jadi kabur, otak jadi beku.
Nasib baik pengawas peperiksaan ketika itu perasan dan terus bawa Merak Jalanan keluar dari dewan. Selepas 5 minit menghirup udara di luar dewan, barulah kaki dan tangan Merak Jalanan kembali seperti biasa.
Teruk betul penangannya. Rasa seperti kepala dihempap bongkah batu besar. Padan muka sendiri sebab tidak mengulang kaji pelajaran sejak Tingkatan 4, yang dianggap tahun ‘bulan madu’.
Kepada pelajar di luar sana, janganlah diikut contoh Merak Jalanan ini.
Selamat maju jaya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!