Pelajar dibuli hadapi ketakutan berkekalan

Pendedahan eksklusif Sinar Harian pada Khamis berhubung kes buli dan denda yang keterlaluan dihadapi pelajar junior sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.
Pendedahan eksklusif Sinar Harian pada Khamis berhubung kes buli dan denda yang keterlaluan dihadapi pelajar junior sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes buli dan hukuman kejam dihadapi pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh yang didedahkan Sinar Harian menyebabkan impak psikologi yang sangat serius bukan hanya terhadap pelajar bahkan ibu bapa terlibat.

Ia boleh menyebabkan gangguan stres pascatrauma (PTSD), mimpi buruk, kebimbangan berlebihan atau ketakutan yang berkekalan.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, ketidakpedulian pihak sekolah sebagaimana yang didakwa, memberi mesej bahawa pelakuan zalim boleh diterima walaupun hakikatnya ia menjejaskan moral pelajar dan sistem pendidikan.

Impaknya, pelajar mungkin menghadapi kemurungan, rasa tidak berharga atau kecenderungan menyalahkan diri sendiri sehingga boleh mencetuskan pemikiran atau tindakan bunuh diri.

“Tekanan berterusan menjadikan mereka tidak mampu menumpukan perhatian kepada pembelajaran, yang akhirnya merosakkan prestasi akademik. Hubungan sosial juga terganggu. Mereka mungkin mengembangkan masalah mempercayai orang lain dan mengelak dari hubungan sosial, menyebabkan isolasi.

“Impak kepada ibu bapa pula, mereka mungkin rasa bersalah kerana 'tidak dapat melindungi' anak mereka, walaupun mereka tiada pilihan kerana terikat dengan kontrak.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan tersebut boleh mengakibatkan tekanan yang berlebihan dan ketegangan berterusan terhadap keselamatan anak boleh membawa kepada insomnia, kebimbangan atau kemurungan.

“Rasa putus asa ini boleh mencetuskan tekanan dalam hubungan keluarga, mengakibatkan pertelingkahan yang merosakkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau mengulas pendedahan eksklusif akhbar ini berhubung kes buli dan denda yang keterlaluan dihadapi pelajar junior sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.

Fauziah berkata, kejadian tersebut menuntut perhatian serius kerana ia bukan sekadar kes individu, tetapi membabitkan tradisi toksik yang mengancam keselamatan dan masa depan pelajar.

Ujarnya, budaya buli yang diwariskan akan menghasilkan lebih ramai mangsa dan 'pemangsa' yang akhirnya memperkukuh kitaran keganasan dalam institusi.

“Ibu bapa pelajar terlibat perlu membentuk kumpulan untuk membuat laporan bersama kepada pihak berwajib.

“Biarpun terikat kontrak, buli adalah kesalahan jenayah. Laporan polis dan penglibatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) boleh memberi tekanan kepada pihak sekolah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!