Selepas Covid-19 muncul pula wabak HMPV
BEIJING - [DIKEMAS KINI] Selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 dilaporkan di China, negara Asia Timur itu kini berdepan ancaman satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu 'human metapneumovirus' (HMPV) yang semakin menular.
Di tengah-tengah lonjakan kes sejak pertengahan Disember, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.
Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan (CDC) di Beijing turut menetapkan protokol untuk pelaporan makmal dan pengesahan kes bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
“Data pada 16 hingga 22 Disember menunjukkan peningkatan jangkitan pernafasan akut termasuk HMPV terutamanya di wilayah utara China. Kes baru-baru ini kebanyakannya melibatkan golongan berusia di bawah 14 tahun,” lapor Reuters.
Sementara itu, stesen penyiar CCTV mengesahkan jangkitan pernafasan yang menyerang pada musim sejuk kali ini berpunca daripada virus influenza selain HMPV sebagai penyumbang utama kes.
Pada akhir bulan lalu, pihak berkuasa kawalan penyakit di Beijing turut merintis sistem pemantauan untuk masalah radang paru-paru tidak diketahui asal usulnya setelah peningkatan luar biasa kes sepanjang musim sejuk.
Antara gejala penyakit itu ialah batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi seperti wisel.
Bagi kes yang teruk, pesakit boleh mengalami bronkitis atau radang paru-paru terutamanya dalam kalangan bayi, warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Selain itu, golongan yang menghidap asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau emfisema iaitu keadaan pundi udara dalam paru-paru mengembang sehingga individu sukar untuk bernafas adalah yang paling berisiko tinggi.
“Virus tersebut menular melalui titisan atau aerosol disebabkan batuk atau bersin dan kontak rapat atau terdedah kepada persekitaran yang tercemar.
“Tempoh inkubasi adalah dari tiga hingga lima hari,” jelas CDC China lagi.
Susulan peningkatan kes, pakar memberi amaran tentang penggunaan ubat antiviral secara sembarangan untuk merawat HMPV.
Menerusi wawancara bersama National Business Daily, pakar pernafasan di hospital Shanghai menasihatkan orang ramai supaya tidak secara melulu menggunakan ubat antiviral untuk merawat hMPV memandangkan ia mempunyai gejala serupa seperti diserang selesema.Setakat ini, tiada vaksin spesifik atau rawatan antiviral tersedia untuk pesakit dan fokus utama merawat pesakit adalah bagi mengurangkan simptom mereka.
WHO GESA LAGI KONGSI DATA COVID-19
Pada awal minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi meminta China berkongsi data dan akses untuk membantu pakar mereka memahami asal usul Covid-19 berikutan kes pertama dikesan di bandar Wuhan.
Kementerian Luar di Beijing bagaimanapun memberitahu mereka telah berbuat demikian malah menerbitkan banyak laporan penyelidikan kepada umum.
Menurut data WHO, lebih 760 juta kes Covid-19 dan kira-kira 6.9 juta kematian akibat wabak itu dilaporkan di seluruh dunia.
Pada pertengahan 2023, agensi kesihatan tersebut mengisytiharkan pandemik tersebut telah berakhir, namun ia harus menjadi peringatan secara berterusan tentang potensi kemunculan virus baharu yang membawa impak lebih dahsyat.
Data awal tentang pandemik itu dikongsi saintis China menerusi pangkalan data antarabangsa pada awal 2023, beberapa bulan selepas Beijing menarik balik sekatan Covid-19 dan membuka pintu sempadan.
Data itu menunjukkan DNA daripada sampel pelbagai spesies haiwan termasuk anjing rakun yang diuji positif SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 yang disebut sebagai antara sumber utama virus tersebut.
Pada 2021, pasukan pakar WHO turut melakukan penyelidikan di sekitar bandar Wuhan dan laporan mereka mendapati virus itu berkemungkinan disebarkan kelawar kepada manusia melalui haiwan lain, namun kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkannya.
Sejak lawatan lapangan terakhir WHO itu, China bertindak 'menutup pintu' kepada pakar asing dan berpendapat penyelidikan kes awal Covid-19 wajar dilakukan di negara lain. - Agensi
INFO
- Virus tersebut pertama kali dikesan penyelidik Belanda pada 2001 dalam sampel daripada kanak-kanak yang mengalami jangkitan pernafasan yang disebabkan oleh patogen yang tidak diketahui.
- CDC China mengeluarkan beberapa saranan seperti ketika pandemik Covid-19 iaitu pemakaian pelitup muka di tempat sesak, amalkan penjarakan sosial, membasuh tangan secara kerap dan mengelakkan tempat kunjungan ramai orang.
- Jabatan itu juga menasihatkan orang ramai supaya mengekalkan kebersihan yang baik, memastikan pengudaraan yang betul di ruang tertutup dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!