Ahli Parlimen gesa ibu bapa mangsa buli lapor polis
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor bersedia mendedahkan insiden buli membabitkan sebuah sekolah berasrama di Parlimen jika ibu bapa mangsa takut membuat laporan polis.
Khlir yang juga bekas Ketua Perisik Tentera Darat memberi jaminan identiti mangsa buli dan ibu bapa mangsa akan dirahsiakan, selain akan memastikan kejadian buli di sekolah berasrama ala tentera itu tidak lagi disembunyikan.
“Saya akan gesa isu ini di Parlimen dan pastikan guru atau jurulatih yang mengajar ilmu bukan-bukan kepada pelajar Tingkatan 5 itu ditamatkan perkhidmatan. Pelajar juga dibuang!
“Bukan itu sahaja, saya beri jaminan mereka (pengadu) akan selamat, begitu juga pelajar yang masih berada di dalam sekolah.
“Saya takkan benarkan perkara ini berterusan berlaku dalam organisasi ketenteraan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Khlir, pihaknya juga bakal mengarahkan pasukan perisik untuk menyiasat pengurusan sekolah yang didakwa gemar mengugut ibu bapa jika mereka berani melaporkan kes buli kepada polis.
“Ibu bapa kena lapor polis, jangan risau saya akan pantau. Kalau takut nak buat laporan kerana bimbang butiran peribadi tersebar dan mereka mungkin diugut, boleh datang jumpa serta beritahu saya terus,” ujarnya.
Khlir yang juga alumni sekolah terbabit tidak menafikan gejala buli sudah berlaku di situ sejak zaman persekolahannya lagi, namun ia dibuat atas dasar membina hubungan baik sesama sendiri sahaja.
“Zaman saya belajar di sekolah ini dulu pun dah ada buli, cuma ringan-ringan macam disuruh menyanyi dikir barat atau bersukan tengah malam, biasalah.
“Tak adalah sampai niat membunuh kawan macam tekap seterika di dada atau commando rest tapi kepala dalam baldi penuh air.
“Kalau waktu hukuman (dengan niat mendidik) tak ada jurulatih di situ dan mereka suruh senior yang uruskan, ini jelas salah,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!