Kebebasan bersuara benteng penindasan
SETIAP individu mempunyai hak untuk bersuara dalam mendedahkan sebarang isu atau insiden serius terutamanya apabila ia melibatkan kecederaan dan pelanggaran hak asasi sesama manusia.
Ia juga merujuk kepada kebebasan seseorang untuk menyuarakan pendapat, idea, luahan dan pandangan tanpa takut akan ancaman atau tindakan balas pihak berkuasa atau mana-mana pihak.
Dengan memberi kebebasan kepada individu untuk bersuara, masyarakat dapat memantau dan menilai tindakan sesetengah pemerintah atau pihak berkuasa.
Pada masa sama, ia juga membuka ruang kepada kumpulan minoriti untuk menyatakan pendapat atau luahan yang membantu mengekalkan keadilan dan meminimumkan penindasan terhadap kumpulan yang terpinggir.
Tindakan tersebut turut dijangka mampu mengurangkan peluang penyalahgunaan kuasa dalam mana-mana institusi atau organisasi.
Seperti insiden buli ekstrem yang tular sejak kebelakangan ini, ramai bekas pelajar mendedahkan mengenai gejala buli keterlaluan yang berlaku di sekolah atau universiti mereka sehinggakan sudah ada kes melibatkan kehilangan nyawa.
Pada 2017, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat dibuli dan didera apabila tubuhnya ditekap menggunakan seterika wap.
Seterusnya, satu lagi kejadian buli berlaku membabitkan penuntut tahun satu UPNM, mangsa mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti yang sama melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.
Terkini, satu pendedahan dilakukan oleh beberapa orang bekas pelajar di salah satu sekolah berasrama penuh berkenaan kes buli terhadap junior secara berlebihan hingga menyebabkan kecederaan serius.
Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagaimanapun orang ramai perlu mengetahui insiden berkenaan tidak melibatkan institusi di bawah kementerian berkenaan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memberi amaran kepada pengetua, guru besar dan pengurusan yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah.
Beliau menegaskan, KPM juga tidak akan berkompromi dan sentiasa mengambil serius terhadap semua aduan baik daripada ibu bapa, sekolah ataupun anak itu sendiri.
Ujarnya, pengetua dan pihak sekolah juga tidak wajar mempersoalkan tindakan ibu bapa yang ingin membuat aduan buli.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berkenaan laporan Sinar Harian berkaitan geng gelap yang digelar 6 Jahanam, 7 Malaikat Maut, 6 Azazil bertindak mengenakan denda keterlaluan terhadap pelajar junior antaranya dipaksa bogel dan perlu melakukan aksi comando rest.
Bapa kepada mangsa buli turut mendakwa pengetua mempersoalkan tindakannya untuk membuat surat aduan berhubung perkara tersebut.
Justeru, bagi memastikan perkara seperti ini tidak 'didiamkan', tindakan tegas perlu diambil oleh pihak terlibat agar keadaan tidak bertambah keruh pada kemudian hari.
Dibimbangi tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini bakal menyebabkan kecederaan serius atau cacat kekal dan apa yang lebih merisaukan adalah meragut lagi satu nyawa tidak berdosa.
Dalam melindungi prestasi institusi atau organisasi, keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab diperlukan agar hak itu tidak disalahgunakan untuk merosakkan keharmonian serta keselamatan orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!