Proses tender secara telus, tiada skandal besar sepanjang pentadbiran - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyifatkan pemerkasaan tatakelola yang dilaksanakan di pelbagai peringkat sebagai suatu kejayaan dicapai Kerajaan Madani dalam tempoh dua tahun.

Berucap di majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam tempoh tersebut, tiada satu pun skandal besar dikaitkan dengan pentadbiran di bawahnya.

"Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap suatu kejayaan, saya mahu sebut dalam tempoh dua tahun ini saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus.

"Tidak ada satu pun skandal besar yang diungkapkan dalam tempoh ini," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, nilai tatakeoloa harus terus menjadi keutamaan dalam diri setiap penjawat awam selaras dengan penekanan kerajaan terhadap perkara terbabit.

"Jangan kita terheret dengan hiruk-pikuk yang lain.

"Saya mahu penjawat awam punyai suatu ketetapan bahawa tugas kita melonjakkan ekonomi, prestasi dan kecekapan.

"Percayalah, beri satu atau dua tahun dengan semangat sebegini rupa dan kesatuan, saya percaya kita akan saksikan Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin," katanya.

Menurut beliau, pemukiman akan dilakukan dalam masa terdekat bermula dalam kalangan Jemaah Menteri dan disusuli ketua setiausaha dan ketua pengarah.

Pemukiman itu katanya, bukan untuk mencari kelemahan serta kesalahan, sebaliknya memberi ruang untuk memperbetulkan sesuatu agar menjadi lebih baik.

“Bagaimana kita boleh melakukan reformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh, ini harus kita fikirkan.

“Apakah kita perlu kumpul, bincangkan bersama, selain menilai prestasi masing-masing, kita berikan pengkikrafan, berikan idea baharu... Itu perlu difikirkan bersama.

Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan mengenai tempoh menunggu sesuatu kelulusan dalam urusan kerajaan.

Katanya, sekiranya sesuatu urusan tersebut memakan masa berbulan-bulan, ia boleh dipertingkat dengan memberi kelulusan dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

"Maka tujuan yang berikutnya adalah untuk mengurangkan dari beberapa minggu kepada satu minggu.

“Apakah ini mungkin? Saya percaya mungkin. Ini yang menjadi cabaran buat kita," katanya.

Tambah beliau, proses yang lama boleh dilakukan dengan singkat dan mudah menerusi transformasi digital.

“Apakah perlu rakyat untuk beratur berjam-jam atau cuti sehari bagi urusan mendapatkan dan memperbaharui lesen?

“Atau hal ini boleh dilakukan melalui proses yang disebut transformasi digital atau hadir dalam masa singkat dengan jadual ditentukan supaya mereka boleh datang dan terus dapat temu janji," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!