Basmi miskin tegar, projek tebatan banjir perlu disegerakan - PM

Anwar menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari Tahun 2025 dan Amanat Tahun Baharu 2025 di Puspanitapuri pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan Januari Tahun 2025 dan Amanat Tahun Baharu 2025 di Puspanitapuri pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan ketua jabatan diingatkan agar tidak melengah-lengahkan program basmi kemiskinan tegar dan projek tebatan banjir.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara tersebut perlu diselesaikan dengan segera.

"Apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berbicara mengenai tebatan banjir, kita ada Rancangan Malaysia Ke-13.

"Tahun ini tahun permulaan, tiga tahun lagi fasa kedua dan enam tahun lagi fasa ketiga.

"Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua (kerana) kalau banjir mengorbankan banyak nyawa dan harta benda, tidak perlu tunggu enam tahun (untuk laksanakan projek)," katanya dalam Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini pada Jumaat.

Menurutnya, keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dibangkitkan dan menjadi alasan.

"Saya tidak mahu dengar, yang saya tahu kerja mesti diselesaikan," ujar beliau.

Jelas Anwar, kerjasama dan perubahan yang dilakukan memberi implikasi dan peruntukan kewangan yang besar.

Artikel Berkaitan:

"Kalau perlu potong peruntukan dari tempat lain, kita potong.

"Kita mesti selesaikan perkara asas yang dihadapi rakyat, sebab itu kita beri keutamaan kepada pendidikan, kesihatan dan tentunya keselamatan awam," katanya.

Beliau berkata, KSU dan ketua jabatan juga perlu turun ke bawah bagi melihat sendiri kesulitan yang dihadapi rakyat dan mencari jalan penyelesaian.

"Kita duduk dan bincang secara teliti. Kemudian turun ke bawah, lihat sendiri apa yang dihadapi oleh rakyat

"Jadi saya harap hal ini diberikan perhatian," katanya.

Kerajaan sebelum ini menyediakan peruntukan berjumlah RM36 bilion dalam RMK-12 untuk pembasmian kemiskinan ke arah matlamat sifar miskin tegar menjelang akhir 2025.

Bagi RTB pula, secara keseluruhan terdapat 26 projek di seluruh Pantai Timur dengan kos RM8 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!