15 tahun pemilik inap desa ceroboh tanah kerajaan

Operasi turut melakukan kerja-kerja merobohkan premis bangunan termasuk 40 bilik inap desa, pejabat pentadbiran dan kafeteria di tanah tersebut.
Operasi turut melakukan kerja-kerja merobohkan premis bangunan termasuk 40 bilik inap desa, pejabat pentadbiran dan kafeteria di tanah tersebut.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pejabat Tanah dan Galian Kedah menyita kawasan inap desa seluas 1.137 hektar di Bandar Sungai Petani di sini semalam selepas pemiliknya menceroboh tanah milik kerajaan itu sejak 15 tahun lalu.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Datuk Mohamad Che Nai berkata, operasi turut melakukan kerja-kerja merobohkan premis bangunan termasuk 40 bilik inap desa, pejabat pentadbiran dan kafeteria di tanah tersebut.

Menurutnya, tanah berkenaan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk kegunaan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani.

Beliau berkata, maklumat diperoleh pihaknya, kawasan berkenaan diceroboh lebih kurang 15 tahun untuk pembangunan resort, tempat makan dan sebagainya.

"Pihak kami melaksanakan operasi melibatkan 300 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi bagi merobohkan binaan atas lot 2029 Seksyen 68 Bandar Sungai Petani bergeran 3579.

"Kolam memancing di kawasan itu juga akan ditimbus dan mengambil masa kira-kira tiga minggu secara keseluruhan," katanya.

Tanah milik kerajaan yang diceroboh telah disita manakala premis dirobohkan.
Tanah milik kerajaan yang diceroboh telah disita manakala premis dirobohkan.

Menurutnya, tindakan dilaksanakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bawah Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Notis diserahkan pada 20 Oktober 2019 di mana notis kita cukup matang dan telah beri tempoh masa yang lama iaitu 90 hari kepada individu terlibat untuk kosongkan bangunan, namun sehingga hari ini masih tidak kosongkan bangunan dan membolehkan kita ambil tindakan perobohan," katanya.

Katanya, pemilik premis diberi masa 30 hari untuk menjelaskan kompaun bagi tuntutan peralatan dalam premis, sekiranya gagal berbuat demikian, barangan terbabit akan dilupuskan.

Difahamkan, kawasan terbabit yang bersambung dengan Kem Lapangan Terbang bakal dijadikan kawasan untuk menjalani latihan ketenteraan.

"Tindakan juga dilakukan atas faktor keselamatan memandangkan pencerobohan seluas 1.137 hektar itu berada dalam kawasan milik Kem Lapangan Terbang," katanya.

Premis dirobohkan.
Premis dirobohkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!