Penduduk terus bantah projek insinerator di Batu Arang
RAWANG - Kerajaan negeri didakwa masih membisu terhadap bantahan penduduk isu pembinaan insinerator di Batu Arang di sini.
Jaringan Rawang Tolak Insinerator dalam satu kenyataan berkata, isu tersebut telah lebih setahun dibangkitkan dengan lebih 10,000 memo bantahan telah dihantar namun tiada perkembangan bermakna yang diperoleh.
Menurutnya, pihak terbabit projek itu juga didakwa tidak memberikan maklum balas berhubung perkara-perkara dibangkitkan yang menjadi kebimbangan penduduk berhampiran.
"Sebanyak 4,000 borang bantahan juga diserahkan kepada Majlis Perbandaran Selayang untuk membantah penukaran zon tanah, tetapi suara kami terus diabaikan.
"Janji kajian dan pertimbangan hanya tinggal retorik tanpa tindakan nyata untuk melindungi komuniti," katanya menerusi Facebook.
Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.
Bagaimanapun, projek tersebut mendapat bantahan penduduk susulan dibimbangi menjejaskan aspek kesihatan dan keselamatan penduduk.
Katanya, pihaknya masih menunggu respon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk ruang perbincangan dan mendengar pandangan.
"Selain itu, pada 1 Oktober tahun lalu, penduduk telah turun padang untuk mengingatkan pihak berkuasa yang kami tidak akan berputus asa.
"Batu Arang bukan sekadar tapak projek industri tetapi adalah rumah dan warisan kami yang perlu dipertahankan.
Ujarnya, sudah tiba masa pihak berkuasa benar-benar mendengar suara rakyat dan mengutamakan kesejahteraan komuniti.
Pihaknya turut menuntut kebertanggungjawaban, ketelusan dan penyelesaian yang mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!