Penyiasat Korea Selatan masuk kediaman Presiden Yoon Suk Yeol
SEOUL - Penyiasat Korea Selatan daripada agensi antirasuah negara memasuki kediaman presiden pada Jumaat untuk melaksanakan waran penahanan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol selepas kegagalannya melaksanakan undang-undang tentera bulan lalu, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Kami telah mula melaksanakan waran penahanan terhadap Presiden Yoon,” menurut Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) dalam satu kenyataan kepada media.
CIO mempunyai tempoh sehingga Isnin untuk melaksanakan waran penahanan atas dakwaan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan cubaan singkat Suk Yeol menguatkuasakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.
Namun, usaha CIO berdepan cabaran dengan kehadiran penyokong Suk Yeol di luar kediaman presiden yang turut meningkatkan risiko pertembungan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden.
Ribuan penyokong berkumpul berhampiran kediaman itu sejak beberapa hari lalu untuk membantah pemecatan Suk Yeol dan menghalang penahanannya.
Sebahagian daripada mereka telah diusir secara paksa oleh polis.
CIO kini bekerjasama dengan polis dan unit siasatan Kementerian Pertahanan bagi menjalankan siasatan bersama terhadap cubaan undang-undang tentera Suk Yeol yang gagal.
Pasukan pembelaan Suk Yeol menyifatkan waran itu sebagai "tidak sah dan tidak berperlembagaan" serta memfailkan injunksi untuk menghalang pelaksanaannya.
Sekiranya Perkhidmatan Keselamatan Presiden atau penyokong Suk Yeol cuba menghalang pelaksanaan penahanan tersebut, polis menegaskan bahawa mereka yang terlibat akan ditahan atas tuduhan menghalang tugas rasmi.
Jika Suk Yeol ditahan, penyiasat akan membawanya ke ibu pejabat CIO di Gwacheon, selatan Seoul untuk disoal siasat sebelum menahannya di Pusat Tahanan Seoul.
Sebaik ditahan, CIO mempunyai tempoh 48 jam untuk memohon waran tambahan bagi penahanan rasmi atau membebaskannya. - Bernama-Yonhap
__________________________________________________________________
Penyiasat gagal laksana waran penahanan Presiden Yoon Suk Yeol
SEOUL - Penyiasat Korea Selatan yang cuba melaksanakan waran penahanan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol kini berdepan kebuntuan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) di luar kediaman presiden pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Penyiasat daripada Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) mengemukakan waran untuk menahan Yoon dan menggeledah kediaman terbabit, tetapi Ketua PSS Park Chong-jun menolak kemasukan mereka dengan alasan kawasan itu adalah zon larangan.
"Pendakwa raya dan penyiasat CIO kini dalam kebuntuan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden berada di hadapan kediaman selepas melepasi halangan pertama dan kedua," kata seorang pegawai polis, merujuk kepada pintu pagar kawasan terbabit dan dengan unit tentera yang ditempatkan di kawasan itu.
CIO mempunyai tempoh sehingga Isnin untuk melaksanakan waran penahanan atas dakwaan pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa berkaitan percubaan singkat Yoon untuk melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.
Namun, usaha CIO terhalang oleh kehadiran penyokong Yoon di luar kediaman presiden, yang turut meningkatkan risiko pertembungan dengan Perkhidmatan Keselamatan Presiden.
Ribuan penyokong berkumpul berhampiran kediaman itu sejak beberapa hari lalu untuk membantah pemecatan Yoon dan menghalang penahanannya. Sebahagian daripada mereka telah diusir secara paksa oleh polis.
CIO bekerjasama dengan polis dan unit siasatan Kementerian Pertahanan untuk menjalankan siasatan bersama terhadap cubaan pelaksanaan undang-undang tentera Yoon yang gagal.
Pasukan pembelaan Yoon menyifatkan waran itu sebagai "tidak sah dan tidak berperlembagaan" serta memfailkan injunksi untuk menghalang pelaksanaannya.
Pada Jumaat, Yun Gap-geun, seorang peguam dalam pasukan pembelaan memberitahu Yonhap bahawa "tindakan undang-undang" akan diambil terhadap cubaan CIO. - Bernama - Yonhap
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!