'Saya minta ampun, janji tak buat lagi'
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemandu p-hailing membuat hantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja lebih tiga tahun lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhinya hukuman denda sebanyak RM10,000.
Tan Yong Hua, 42, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil ‘ogbadboyterryt’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang pada 6 dan 7 November 2021.
Kenyataan itu dibaca di sebuah rumah di Jalan Taman U-Thant di sini, pada 7 November 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Dia boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, keterangan menunjukkan tertuduh telah membuat hantaran bersifat jelik tersebut melalui Instagram untuk menyebabkan orang ramai yang membaca hantaran itu marah dan sakit hati.
Tertuduh kemudiannya telah ditangkap oleh pihak polis pada jam 10 malam, 26 November 2021.
Semasa prosiding, Yong Hua yang tidak diwakili peguam, merayu agar mahkamah mengurangkan kadar denda kerana dia tidak mempunyai kerja tetap.
“Saya mengalami kecederaan tangan dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan ini lagi, saya minta ampun,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman keras sebagai pengajaran.
Menurutnya, tertuduh sebagai warga Malaysia yang bertanggungjawab, perlu peka bahawa institusi diraja menjadi tiang seri negara.
“Pendakwaan berharap masyarakat tidak menyentuh komen bersifat sensitif berkaitan agama, bangsa dan raja (3R).
“Ketika mengendalikan media sosial, dalam setiap komen ia boleh dibaca oleh semua masyarakat dan boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!