Hormati kuasa Agong beri ampun, kurangkan hukuman - Istana Negara
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.
Istana Negara dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kuasa Seri Paduka Baginda untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Kuasa Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Jelas kenyataan itu lagi, jika sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan Najib berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.
Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum itu.
Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16 akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal selama 12 tahun susulan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!