20 lokasi baharu solat Jumaat di Johor
JOHOR BAHRU - Sebanyak 20 lokasi baharu melibatkan 10 surau kariah, sembilan musolla dan satu musolla kampung Orang Asli di negeri Johor, mendapat kebenaran bagi mendirikan solat Jumaat.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, pelaksanaan berkenaan akan berkuatkuasa mulai 3 Januari 2025 (Jumaat), yang juga merupakan minggu pertama persekolahan hari Jumaat.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan dan memberi kebenaran bagi 20 lokasi baharu untuk didirikan solat fardu Jumaat di negeri Johor.
“Oleh itu, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), yang telah bersetuju memberikan kebenaran permohonan mendirikan solat Jumaat bagi surau kariah dan musolla sekolah dalam negeri Johor.
“Keadaan ini akan memberi kemudahan kepada orang ramai termasuk ibu bapa, para pelajar juga para pekerja sektor awam dan swasta untuk melaksanakan kewajipan solat fardu Jumaat di kawasan berdekatan, berikutan perubahan cuti hujung minggu 2025 yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja bagi Negeri Johor,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Untuk rekod, 10 surau kariah yang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat melibatkan Surau Ehsan, Jalan Perubatan 22, Taman Universiti, Surau Raudhatul Indah, Tama Bukit Indah, Suaru Al-Istiqamah, Jalan Bacang, Taman Kota Masai, Sutau At-Taqwa, Taman Johor Jaya, Surau Jauharul Musinin, Taman Mutiara Rini, Surau As Syakirin Jalan Kebangsaan, Taman Universiti, Surau Nurussalam bagi daerah Johor Bahru; Taman Pulai Indah (Kulai), Surau Saidina Abu Abu Bakar As Siddiq, Kampung Johor (Batu Pahat), Surau At-Taqwa, Ladang MADOS, Tanah Abang (Mersing) dan Surau Al-Muhajir, Rumah Awam Kelapa Sawit (Kulai).
Bagi Musolla Jumaat Sekolah pula melibatkan SMK Medini, (Iskandar Puteri), SMK Majidi Baru 2, SMK Pasir Gudang 3 dan SMK Agama (Johor Bahru), SMK Agama Maahad Muar dan SMK Pagoh (Muar), SMK Tun Habab, (Kota Tinggi), SM Sains Sultan Iskandar, Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MATAM) dan Musolla Kampung Orang Asli Punan (Mersing).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!