Pasang CCTV, wujudkan saluran aduan rahsia tangani buli di sekolah
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) mahupun pihak sekolah disaran meningkatkan pengawasan dan keselamatan di sekolah dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik serta menyediakan saluran aduan rahsia untuk murid melaporkan kes buli tanpa rasa takut.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sistem sokongan di sekolah juga perlu diperkasakan dengan melantik lebih ramai kaunselor terlatih untuk menyediakan bantuan kepada mangsa dan pelaku buli.
Menurutnya, langkah-langkah tersebut penting kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran, bukan medan tekanan dan ketakutan.
"Isu ini perlu ditangani secara telus dan tegas demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid-murid di negara kita.
"Semua kes buli mesti dilaporkan kepada pihak sekolah, ibu bapa, dan pihak berkuasa dengan segera. Pihak pentadbiran sekolah perlu memastikan tindakan diambil dengan pantas dan adil terhadap pelaku, tanpa melindungi mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Khamis mendedahkan berlakunya kes buli dan denda yang keterlaluan dihadapi pelajar junior sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur.
Turut didakwa terdapat geng gelap yang digelar 6 Jahanam, 7 Malaikat Maut, 6 Azazil bertindak mengenakan denda keterlaluan terhadap pelajar junior antaranya dipaksa bogel dan perlu melakukan aksi comando rest.
Susulan itu, KPM memberi amaran kepada pengetua, guru besar dan pengurusan yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah.
Tegas Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM tidak akan berkompromi dan sentiasa mengambil serius terhadap semua aduan baik daripada ibu bapa, sekolah ataupun pelajar terlibat.
Kes berkenaan juga kini dalam siasatan.
Mengulas lanjut, Lam Thye menyambut baik ketegasan KPM bahawa kes buli di sekolah tidak boleh disorokkan atau diabaikan.
Sehubungan itu ujarnya, KPM perlu bekerjasama dengan polis, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar psikologi untuk menangani kes buli secara holistik.
"Penguatkuasaan tindakan disiplin perlu dibuat dengan menguatkuasakan hukuman yang setimpal terhadap pelaku buli mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!