Pas hadir himpunan solidariti untuk Najib tiada kaitan UMNO
KOTA KINABALU - Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anil Sandhu menegaskan kehadiran Pas pada perhimpunan solidariti yang akan diadakan pada Isnin depan di Istana Kehakiman Putrajaya tiada kaitan dengan isu dalaman UMNO.
Anil yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah turut menegaskan bahawa sokongan moral yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah hak Pas sendiri.
"Kehadiran Pas yang memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Najib Razak, ia adalah hak mereka sebagai sebuah parti politik.
"Sokongan tersebut tidak ada kaitan dengan UMNO mahupun isu dalaman parti kami. Malah, tindakan PAS itu mencerminkan penghargaan mereka terhadap jasa dan kepimpinan Datuk Seri Najib ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu itu berkata, sokongan UMNO terhadap kerajaan Madani sepatutnya tidak wajar diragui atau dipersoalkan.
"Kami tetap komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.
"Sebagai pemimpin, kita harus lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti demi mengekalkan keharmonian antara semua pihak dalam kerajaan dan negara," katanya.
Sebelum itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas UMNO kerana berganding bahu dengan PAS dalam mengadakan perhimpunan solidariti termasuk untuk Najib.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi telah menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!