MIC Perak kerah setiap bahagian hantar ahli ke himpunan solidariti Najib

RAMASAMY
RAMASAMY
A
A
A

IPOH - MIC Perak mengarahkan setiap bahagian negeri ini untuk menghantar ahli bagi menyertai himpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin depan.

Pengerusinya, Tan Sri M Ramasamy berkata, sekurang-kurangnya seramai 500 orang terdiri daripada ketua-ketua cawangan MIC di negeri ini akan berada di lokasi himpunan yang telah ditetapkan.

"Ya, MIC Perak akan menghantar ahli ke sana. Lebih kurang 500 orang ketua cawangan akan terlibat dalam perhimpunan itu nanti, tidak termasuk ahli-ahli biasa yang lain.

"Saya juga bersama-sama kepimpinan MIC Perak akan turun bersama-sama pimpinan MIC pusat bagi bersama-sama untuk bersolidariti buat Datuk Seri Najib," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MIC Perak, M Veeran berharap semua ahli MIC Perak yang terlibat dengan perhimpunan itu memberikan kerjasama untuk menunjukkan solidariti terhadap Najib.

VEERAN
VEERAN

Jelasnya, kehadiran pemimpin dan ahli MIC Perak membuktikan bahawa kesetiaan mereka terhadap Najib tidak pernah pudar kerana masyarakat India terhutang budi dengan bekas pemimpin Barisan Nasional itu.

"Saya juga nasihatkan kepada semua ahli-ahli yang terlibat untuk sentiasa bersopan sepanjang himpunan ini berlangsung. Jangan layan sebarang provokasi oleh mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu himpunan ini berlangsung dengan aman dan kita cuma mahu tunjukkan solidariti untuk Datuk Seri Najib yang banyak berjasa kepada masyarakat India," katanya yang juga Ketua MIC Bahagian Taiping.

Dalam pada itu, Veeran berkata, MIC Bahagian Taiping akan menghantar sekurang-kurangnya 20 orang untuk memberikan sokongan terhadap perhimpunan tersebut.

Pada Khamis, media melaporkan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa parti itu akan menghantar ribuan ahli untuk menyertai himpunan solidariti buat Najib pada 6 Januari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!