Lapan jam padam kebakaran!
KANGAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis mengambil masa lapan jam untuk memadam kebakaran yang melibatkan hampir tiga hektar ladang kosong berhampiran tanaman harumanis dan musang king, di lereng Bukit Tunjong, dekat Beseri malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba Kangar, PBK II Mohd Faizal Abu Shahid berkata, kecekapan pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke seluruh ladang seluas kira-kira 7.1 hektar.
"Setakat jam 1 pagi tadi, masih terdapat tompokan api. Pemadaman dilakukan menggunakan pemerap api dan power spray kerana ketiadaan sumber air di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurut Mohd Faizal, perubahan arah angin menyukarkan anggota bomba mengawal kebakaran namun kerja keras berjaya mengelakkan api marak ke arah rumah penduduk kira-kira 500 meter dari kawasan berkenaan.
Tambah Mohd Faizal, operasi pemadaman bermula sejak jam 4 petang semalam selepas menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, pemilik ladang, Ong Ben Huan, 67 berkata, kebakaran kali kedua itu berlaku selepas tahun lalu yang memusnahkan kira-kira 200 pokok musang king dengan nilai kerugian lebih RM100,000.
Katanya, kebakaran malam tadi hampir merebak ke kawasan ladang harumanis yang ditanam kira-kira 1,000 pokok.
“Mujur bomba cepat bertindak dan mengelak api merebak," katanya.
Kebakaran turut berlaku di dua bukit lain secara serentak iaitu melibatkan Bukit Chabang dan Bukit Temiang sejak petang semalam namun begitu keadaan api berjaya dikawal dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!