Penganggur ditahan bersama syabu, heroin bernilai RM204,000

Dadah dan sebilah parang yang dirampas daripada suspek dalam serbuan pada awal pagi Jumaat di Bukit Mertajam. Gambar kecil: Hamzah
Dadah dan sebilah parang yang dirampas daripada suspek dalam serbuan pada awal pagi Jumaat di Bukit Mertajam. Gambar kecil: Hamzah
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang merupakan ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama heroin dan syabu bernilai RM204,000 di Bukit Mertajam pada jam 4.15 pagi Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penganggur berusia 39 tahun itu ditahan dalam satu operasi terancang yang dijalankan di sekitar Bukit Mertajam oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

Menurutnya, suspek dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar negeri ini.

"Kita telah menahan suspek di rumahnya di Bukit Mertajam. Pemeriksaan lanjut pada raga motosikal yang diletakkan di hadapan rumahnya mendapati, ada sebuah beg plastik mengandungi lima bungkus plastik syabu, anggaran berat 6,102 gram bernilai RM195,200.

"Kita juga menemui dua bungkus plastik mengandungi heroin, dengan anggaran berat 900 gram bernilai RM8,800. Selain itu, kita turut merampas sebilah parang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya lagi, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket tersebut bergiat aktif sejak September tahun lalu untuk pasaran sekitar negeri ini.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine,methamphetamine dan ganja.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 35,000 penagih.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Januari ini untuk siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!