Siasatan kes kematian penuntut UiTM selesai, tiada unsur jenayah - Polis

Hussein ketika ditemui pemberita di IPK Selangor pada Jumaat.
Hussein ketika ditemui pemberita di IPK Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan kes kematian penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Amir Rusyaidi, 26, semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) telah selesai dan disahkan tiada kesalahan jenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan telah selesai dilakukan selepas merekod keterangan 64 individu.

"Kertas siasatan kes mati mengejut (SDR) telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan diputuskan tiada sebarang kesalahan dalam insiden berkenaan.

"Tiada kesalahan jenayah oleh mana-mana pihak dan mangsa meninggal dunia disebabkan strok haba," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.

Sebelum ini polis mengesahkan kematian Muhammad Amir diklasifikasi sebagai SDR.

Sepanjang siasatan dijalankan, polis kemudian telah merekodkan keterangan banyak pihak antaranya pegawai perubatan, jurulatih (Palapes), penuntut UiTM serta pengadu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiada kesan kecederaan luaran dikesan terhadap Muhammad Amir yang meninggal dunia, 13 November lalu.

Sebelum itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan kes itu yang dikaitkan dengan kejadian buli sewaktu menjalani sesi latihan seliaan jurulatih tentera.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!