Bicara kes saman Anwar terhadap Awang Solahuddin Oktober tahun depan

Anwar dan Awang Solahuddin
Anwar dan Awang Solahuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim yang sepatutnya bermula 20 Januari ini, dijadual semula pada 26 Oktober tahun depan.

Ia berhubung kenyataan Awang Solahuddin yang didakwa Anwar membawa maksud Pengerusi Pakatan Harapan itu mempunyai sifat pendendam dan telah menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri serta menteri kewangan untuk mencapai agenda politik peribadi.

Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Anwar, supaya melapangkan prosiding tahun ini.

Peguam, Datuk SN Nair yang mewakili Anwar berkata, pada waktu itu, anak guamnya yang juga Ahli Parlimen Tambun perlu melakukan perjalanan ke luar negara untuk urusan rasmi.

"Pihak kami memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada 20 dan 23 Januari serta 12 dan 13 Februari ini dilapangkan.

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 26 hingga 29 Oktober 2026," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Beliau berkata, Anwar selaku plaintif akan menjadi saksi tunggal dalam perbicaraan kes saman itu.

Sementara itu, peguam, Mohd Faizi Che Abu mewakili Awang Solahuddin selaku defendan, mengesahkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam prosiding itu kelak, tiga saksi akan hadir memberi keterangan.

Sebelum ini tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Julai 2026, namun ditukar ke tarikh baharu iaitu pada 20 dan 23 Januari serta 12 dan 13 Januari 2025.

Pada 3 Mac 2023 Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah dibuat oleh Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari tahun sama.

Menurut Anwar, kenyataan itu yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau yang mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.

Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

Beliau berkata, kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa, dan sehubungan itu Anwar menuntut antaranya ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen, atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah yang didakwanya sebagai fitnah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!