Baca, terima titah Agong berhubung pengampunan banduan - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkaitan supaya memahami dan menerima titah Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi banduan.
"Kena baca, kena hadam, dan kena terima perintah, titah tuanku," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa melawat lokasi Lestari Niaga Madani@KL 2 dan menikmati makan tengah hari di Pusat Penjaja Seksyen 10 Wangsa Maju di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Istana Negara bahawa permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selain boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Ditanya sama ada kenyataan Istana Negara itu berkaitan dengan himpunan "Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan" di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin depan, Anwar berkata, "Kena baca (kenyataan Istana Negara)".
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari disambut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta orang ramai yang teruja dengan kehadiran pemimpin negara itu di premis berkenaan.
Anwar turut beramah mesra bersama peniaga gerai makanan di medan selera itu dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!