Polis kesan ada aktiviti jual ekstasi di konsert Pinkfish
SHAH ALAM - Polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang menjual dadah jenis pil ekstasi di dalam dan luar konsert Pinkfish di Bandar Sunway, pada ambang tahun baharu.
Dalam kes itu, empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun termasuk dua wanita dilaporkan meninggal dunia dipercayai terlibat mengambil barang terlarang itu selepas menghadiri konsert terbabit Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga kini ada enam laporan diterima daripada pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur yang menerima tujuh pesakit yang menunjukkan simptom sama.
"Empat daripada mereka telah meninggal dunia, dua masih menerima rawatan rapi serta seorang telah dibenarkan keluar dari hospital
"Kes pertama dilaporkan bermula sekitar jam 10.45 ke 11 malam sehingga jam 3 pagi.
"Siasatan mendapati mereka semua memggunakan pil ekstasi dan ada antara mereka minum alkohol. Jadi kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sebarang elemen punca kematian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan mendapati bekalan ekstasi diperolehi dari luar dan beli dalam premis.
Jelasnya, polis tidak menafikan ada individu berlegar di lokasi terbabit bagi menjual pil ekstasi.
"Maklumat kita terima satu pil dijual dengan RM50 dan biasa dijual secara pakej iaitu tiga pil RM100.
"Polis sedang mengenal pasti mereka yang terlibat jual ekstasi. Individu ini menjual secara sendirian dan perkara ini dalam siasatan," ujarnya.
Tegasnya, polis mendapati penganjur gagal mengawal aktiviti ini.
"Mereka (penganjur) perlu kawal keselamatan pengunjung. Saya difahamkan tiket dijual sebanyak 14,000 dan bila dicampur dengan petugas, jumlahnya lebih daripada 14,000 dan ini jumlah besar," katanya.
Ketika ditanya simptom mangsa, Hussein menjelas, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pihak penganjur yang menyediakan rawatan bantuan awal telah merawat mangsa sebelum mengaturkan ambulans untuk dibawa ke hospital," katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan kesemua mangsa tidak mempunyai hubungan dan tidak mengenali antara satu sama lain selain hadir secara berasingan.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pemeriksaan polis ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!